Kerajaan Perlu Pandang Serius Isu 51 Peratus Pelajar Tolak Tawaran IPTA – Nurfazreen Elyana

KUALA LUMPUR, 6 Julai – Kerajaan perlu memandang serius isu lebih 51 peratus pelajar bumiputera lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menolak tawaran kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Nurfazreen Elyana Muhamad Zailan berkata, kos yuran dan perbelanjaan pelajar IPTA haruslah dikaji, di samping menambah baik bantuan bersasar kepada golongan memerlukan.

“Isu lebih 51 peratus pelajar bumiputera lepasan SPM menolak tawaran kemasukan IPTA adalah sangat serius.

“Kerajaan perlu kaji semula kos yuran dan perbelanjaan pelajar IPTA serta menambah baik bantuan bersasar bagi golongan yang memerlukan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Tegasnya, sekiranya isu ini tidak dibendung sebaiknya, akan berlakunya implikasi serius terhadap perkembangan individu, negara dan berlaku pembaziran bakat profesional.

“Kerajaan perlu merangka lebih peluang pekerjaan untuk graduan IPTA lepasan peringkat diploma sehingga doktor falsafah.

“Jika tidak dibendung dengan cepat, akan terjadi implikasi serius terhadap perkembangan individu, negara dan potensi pembaziran bakat profesional serta kebolehan sumber manusia,” katanya lagi.

Dilaporkan sejumlah 188,884 atau 51 peratus daripada 365,553 pelajar bumiputera lepasan SPM telah menolak tawaran untuk melanjutkan pengajian di IPTA.

Bagi Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan kelayakan setaraf lain, daripada 131,905 tawaran yang diberikan, sejumlah 15,920 telah menolak tawaran tersebut. Ini berdasarkan statistik Kementerian Pendidikan yang dikutip dalam Dewan Negara baru-baru ini.

Antara alasan mereka adalah masalah kewangan, tidak mahu terikat dengan pinjaman pelajar dan ingin mencari pendapatan. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit