Mansuh Hukuman Mati, Memurnikan Undang-Undang Konteks Kehidupan Masyarakat Kini

KUALA LUMPUR, 5 Julai – Pemansuhan hukuman mati mandatori dilihat dapat memurnikan undang-undang kehidupan masyarakat kini dalam memberikan peluang kepada seseorang untuk meneruskan kehidupan tanpa mengorbankan nyawa.

Naib Ketua Pergerakan Puteri UMNO Negeri Selangor, Nur Ellena Mohamed Razif berkata, Pergerakan Puteri UMNO menyokong Rang Undang-Undang Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 ini dan beranggapan bahawa setiap insan wajar diberikan peluang untuk berubah.

“Puteri UMNO menyokong akta pemansuhan hukuman mati mandatori ini dalam memberi gambaran serius terhadap isu hak asasi individu seseorang untuk meneruskan kehidupan tanpa mengorbankan nyawa.

“Kami beranggapan ia dapat memurnikan undang-undang dalam konteks kehidupan masyarakat kini dan setiap insan wajar diberikan peluang untuk berubah,” katanya menerusi satu kenyataan.

Pada 3 April lepas, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 yang antara lain bertujuan memansuhkan hukuman mati mandatori, mengubah hukuman pemenjaraan sepanjang hayat dan sebatan.

Melalui undang-undang itu, mahkamah mempunyai budi bicara untuk menjatuhkan hukuman mati atau pemenjaraan bagi tempoh tidak kurang 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati, hendaklah juga dihukum dengan sebatan tidak kurang 12 kali.

Semalam media melaporkan bahawa Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 (Akta 846) telah berkuat kuasa secara rasmi.

Menurut Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 30 Jun yang disiarkan Jabatan Peguam Negara, tarikh berkuat kuasa akta berkenaan ditetapkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.