Semoga Ibadah Korban Diterima, Suasana Muhibbah Sambut Aidil Adha – Wan Rosdy

KUALA LUMPUR, 30 Jun – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berharap ibadah korban yang dilaksanakan pada Aidil Adha  tahun ini diterima Allah SWT.

Beliau yang juga Menteri Besar Pahang seterusnya menambah suasana Aidil Adha yang penuh muhibbah dirasai di seluruh negara termasuklah di kampungnya sendiri di Tanjung Gahai.

“Alhamdulillah, saya menyambut Hari Raya Aidiladha di kampung halaman saya di Tanjung Gahai, Lipis bersama sanak saudara, rakan-rakan serta masyarakat di kampung ini.

“Sudah tentu beraya di kampung suasananya cukup berbeza. Saya dapat bertegur sapa dengan rakan-rakan sekampung serta melaksanakan ibadah korban secara gotong royong dalam suasana yang cukup harmoni sekali,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Kata beliau lagi semoga hari yang mulia ini membawa kebahagiaan, kesyukuran serta kesejahteraan kepada kita semua dan ibadah korban yang kita lakukan diterima oleh Allah SWT.

Semalam umat Islam di negara ini menyambut Hari Raya Aidiladha dengan kebanyakan masjid serta surau dipenuhi umat Islam, termasuk pemimpin serta ketua negeri mahupun setempat, yang hadir seawal pukul 7 pagi, bersama bertakbir memuji kebesaran Allah SWT dan menunaikan solat sunat Aidiladha. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit