Aminah Sumbang 24 Ekor Kerbau Korban Bagi Pelaksanaan Korban Parlimen Beaufort

BEAUFORT, 28 Jun – Sempena sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang juga Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Siti Aminah Aching telah menyumbangkan sebanyak 24 ekor kerbau bagi pelaksanaan ibadah korban.

Sumbangan kerbau terbabit yang mana dua daripadanya adalah daripada Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB) bakal diagih-agihkan kepada beberapa buah masjid dan surau di kawasan Parlimen Beaufort.

Majlis penyerahan simbolik telah dilakukan oleh Pegawai Khas Ahli Parlimen Beaufort Ustaz Jaludin Kadir yang mewakili Aminah yang juga Ahli Parlimen Beaufort.

“Tahun ini alhamdulillah Ahli Parlimen Beaufort bermurah hati menyumbangkan sebanyak 24 ekor kerbau untuk majlis korban sempena sambutan Aidiladha tahun ini bagi kawasan Parlimen Beaufort,” katanya

Daripada jumlah 24 ekor kerbau terbabit, agihan dibuat melibatkan sebanyak 12 buah masjid dan surau di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Penyu dan 12 buah masjid dan surau di kawasan DUN Klias untuk dikorbankan dan diagih-agihkan kepada golongan yang layak menerima.

Menurut Jaludin sumbangan kerbau korban tersebut akan diserahkan kepada pengerusi masjid dan surau sebagai penyelaras yang akan melaksanakan majlis korban termasuk peruntukan tambahan sebanyak RM500 juga diberikan sebagai kos penyelanggaran korban.

“Diperingkat perlaksanaan majlis korban ini kita serahkan kepada pengerusi masjid dan surau untuk menyelaraskannya termasuklah agihan daging-daging korban kepada komuniti setempat yang layak menerimanya,” katanya.

Tambah Jaludin selain untuk masjid dan surau sumbangan kerbau juga diberikan kepada pasukan beruniform polis iaitu surau ibu pejabat polis daerah yang turut menerima seekor kerbau untuk majlis korban.

“Kita berharap melalui sumbangan ini sambutan hari raya Aidiladha tahun ini akan lebih bermakna dan konsep Malaysia Madani akan dapat diterjemahkan seiring dengan pembentukan kerajaan perpaduan yang terhasil dari muafakat dan kerjasama demi pembangunan negara serta ke arah pemangkin kemajuan masa depan,” jelas Jaludin. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.