Tengku Zafrul: Rangka Kerja ESG Sektor Pembuatan Boleh Manfaat Peluang Bernilai US$200 Bilion

KUALA LUMPUR, 27 Jun – Rangka Kerja Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus Industri (i-ESG) Kebangsaan bagi Sektor Pembuatan yang akan dilancarkan pada September 2023, boleh memanfaatkan perniagaan hijau yang semakin berkembang di Asia Tenggara dianggarkan bernilai US$200 bilion (US$1=RM4.67) menjelang 2030.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata rangka kerja itu terdiri daripada empat komponen utama iaitu standard, sokongan dan insentif kewangan, pembinaan kapasiti dan mekanisme pasaran.

“Selain itu, kita juga ingin mempromosikan dan memupuk pembuatan hijau. Untuk makluman, perniagaan hijau di Asia Tenggara menyediakan peluang dalam anggaran sehingga US$200 bilion menjelang 2030,” katanya dalam ucaptama pada Persidangan Perbankan Malaysia Kedua di sini, hari ini.

Persidangan dua hari itu dianjurkan oleh Asian Institute of Chartered Bankers (AICB) dan Persatuan Bank-bank Malaysia (ABM).

Beliau berkata rangka kerja itu bertujuan menggalakkan sektor pembuatan menerima amalan ESG dengan menyediakan garis panduan dan pemboleh yang jelas untuk syarikat, termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Institusi kewangan
Tengku Zafrul mengalu-alukan institusi kewangan untuk mempertimbang memperuntukkan sumber kepada industri, pengilang dan pengeksport dalam bidang antaranya penyahkarbonan sektoral, mobiliti elektrik, tenaga hidrogen, penangkapan karbon berskala besar, penggunaan dan penyimpanan dan infrastruktur hijau.

Menurutnya, hanya apabila terdapat usaha bersepadu awam-swasta barulah sesebuah negara boleh menggerakkan pembiayaan atau modal yang serius ke arah penyahkarbonan ekonomi secara berkesan dan mencapai agenda ESG, sambil menyokong pertumbuhan secara meluas.

“Kita boleh dan mesti cuba mengubah kesan perubahan iklim yang berpotensi membawa malapetaka ke atas Malaysia.

“Untuk itu, saya amat berharap industri kewangan Malaysia akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) untuk meningkatkan usaha bersama ini dengan menjadi lebih berani dan agresif dalam pembiayaan dan pelaburan ESG, terutamanya untuk PKS dalam rantaian nilai pembuatan, pelaburan dan perdagangan kita.”

Menteri itu seterusnya menambah Malaysia komited terhadap sasarannya untuk menjadi sifar bersih menjelang 2050, dan banyak dasar lain sejajar dengan sasaran negara yang berkaitan dengan Matlamat Pembangunan Mampan/Lestari dan ESG.

Sebagai contoh, kerajaan telah memperkenalkan Elaun Cukai Pelaburan Hijau, Pengecualian Cukai Pendapatan Hijau serta Dasar Automotif Nasional 2020 dan Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon, yang mana kerajaan juga telah memperkenalkan insentif cukai untuk pengeluar peralatan mengecas kenderaan elektrik.

PKS
Berkenaan PKS pula, Tengku Zafrul berkata peranan mereka sebagai pemacu masa depan yang penting bagi pertumbuhan ekonomi menyeluruh dan inklusif adalah berisiko jika mereka tidak dapat mematuhi keperluan ESG.

Menurutnya, pada 2021, terdapat 1.23 juta PKS, menyumbang 97.4 peratus daripada semua perniagaan berdaftar di Malaysia.

Walaupun jumlahnya begitu banyak, perusahaan mikro dan PKS menyumbang hanya 37.4 peratus kepada keluaran dalam negara kasar, 11.7 peratus daripada jumlah eksport dan 47.8 peratus daripada jumlah pekerjaan di Malaysia.

Ini, secara amnya lebih rendah berbanding angka purata Asia Tenggara.
Katanya Asia Tenggara berhadapan dengan cabaran ESG utama dan saling berkait, termasuk kekurangan penjajaran dasar dan penyelarasan merentas negara di rantau ini untuk menangani risiko dan cabaran ESG.

Tengku Zafrul berkata MITI menyedari cabaran utama yang dihadapi PKS dalam menerima ESG iaitu isu kos, kerumitan dan kapasiti serta keutamaan bersaing.

“Pembiayaan untuk membantu PKS ini menerima pertimbangan ESG akan membantu mereka kekal dalam rantaian bekalan utama yang lebih banyak akan dipacu ESG pada tahun-tahun akan datang.”

Selain itu, teknologi serta data yang konsisten, telus dan boleh dipercayai memainkan peranan penting bukan sahaja dalam memacu inovasi, tetapi juga dalam memudahkan syarikat termasuk PKS, untuk mematuhi keperluan ESG, jelasnya.

Sementara itu, pada sidang media kemudiannya, Tengku Zafrul berkata adalah penting untuk menyediakan akses pasaran kepada PKS terutamanya daripada institusi kewangan supaya PKS bersedia untuk memenuhi piawaian ESG yang telah ditetapkan dalam industri tertentu.

Bagi memastikan PKS mendapat bantuan yang mereka perlukan, beliau berkata MITI akan mengadakan pelbagai sesi penglibatan dengan institusi kewangan.

“Yang pertama telah bermula minggu lepas tentang bagaimana kita juga boleh memastikan bahawa terdapat cara yang lebih berstruktur, lebih formal untuk bekerja dengan mereka.

“Kita tidak mahu ia bersifat ad hoc. Kita mahu menghasilkan rangka kerja yang betul, satu proses mengenai ESG, bagaimana bank boleh membantu PKS.

“Selain itu, kita juga memasukkan beberapa perkara ini ke dalam Pelan Induk Perindustrian Nasional 2030,” kata Tengku Zafrul.

Beliau menambah sebaik sahaja Dasar Karbon Negara dimuktamadkan dan diluluskan oleh Kabinet dalam masa terdekat, agensi dan syarikat kerajaan lain kemudian boleh merangka langkah seterusnya berdasarkan pelan hala tuju, selaras dengan sasaran mencapai pelepasan gas rumah hijau bersih sifar seawal 2050.

Ini juga termasuk memperkenalkan cukai karbon, yang perlu dilakukan secara berperingkat.

“Dasar itu perlu diperkenalkan dahulu. Kita tidak ada garis masa kerana ia di bawah Kementerian Kewangan,” katanya. – BERNAMA


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di linktr.ee/umno #UMNOBangkit