“Pas Boleh Dakwa Pejuang Islam, Tetapi Jangan Nafikan UMNO Turut Perjuangkan Islam” – Mohd Khairuddin

 

KUALA NERUS, 27 Jun – UMNO/Barisan Nasional (BN) sememangnya memperjuangkan Islam semenjak ianya ditubuhkan sehingga kini.

Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, pelbagai usaha yang telah dilakukan oleh UMNO/BN dalam memperjuangkan Islam sebagai contoh melalui dasar pendidikan dan sistem perbankan Islam.

“Pas boleh mendakwa mereka pejuang Islam tetapi jangan menafikan bahawa UMNO turut memperjuangkan Islam.

“Contohnya seperti budaya bertudung. Siapa yang melorongkannya sehingga ke hari ini menjadi fenomena? Kalau bukan kerajaan pada tahun 80-an melalui dasar pendidikan. Parti manakah yang menjadi kerajaan pada ketika itu? Sudah semestinya UMNO/BN.

“Kalau di Kelantan dahulu, Datuk Seri Nik Aziz (Nik Aziz Nik Mat) sebut kita kena tukar akaun kerajaan kepada Bank Islam, itu jihad kita. Tetapi siapa yang mewujudkan Bank Islam? UMNO juga,” katanya ketika menyampaikan ceramah perdana sempena Ceramah Perdana Gelombang Biru 2.0 pada Khamis.

Jelasnya, Pas telah menyempitkan makna perjuangan Islam hanya kepada dakwah namun mengasingkannya daripada politik.

“Mereka menyempitkan makna perjuangan Islam kepada perjuangan dakwah. Bercakap, berceramah, duduk dengan orang beramal Islam tetapi tidak melihat perjuangan yang lebih luas.

“Mereka cakap UMNO sekular, Malaysia sekular. Mengasingkan politik daripada Islam. Kalau sekular dan mengasingkan politik dengan Islam bagaimana pengaplikasian pemakaian Islam serta pendidikan Islam jadi mata pelajaran teras dalam pendidikan negara?

“Macam mana kabinet boleh berbincang tentang pajak gadai Islam? Macam mana kabinet boleh lepaskan dan beri arahan untuk dibuat Bank Islam, Takaful Islam, pajak gadai Islam dan macam-macam lagi Islam sehingga Malaysia menerokai pasaran modal Islam?” soalnya lagi.

Dalam pada itu, Mohd Khairuddin turut menyeru agar para pemimpin dah ahli UMNO/BN untuk terus tegas mempertahankan parti yang sememangnya memperjuangkan Islam semenjak ia ditubuhkan.

“Ini realitinya. Nak dakwah, silakan. Tetapi jangan nafikan orang lain. Dia pejuang Islam, orang lain tak perjuangkan Islam maka berlakulah pertembungan.

“Maka saya mahu orang-orang UMNO/BN dengan tegas menyatakan bahawa kita telah memperjuangkan Islam sejak 1948 hingga hari ini,” katanya lagi. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit