Tindakan Kerajaan Tarik Balik Arahan LPPB Pengosongan Rumah Tepat, Berperikemanusiaan – Bung

KOTA KINABALU, 24 Jun – Langkah kerajaan negeri Sabah menarik balik arahan daripada Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) agar mengosong rumah bagi penyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) melebihi 10 tahun tepat dan berperikemanusiaan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata pengumuman yang dibuat oleh Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dalam sidang medianya kelmarin sudah tentu melegakan para penyewa (PPR) yang majoritinya adalah golongan B40.

“Walaupun ada kenyataan mereka (penyewa) telah tinggal lebih 10 tahun di PPR dan sudah mampu berdikari namun hakikatnya tidak kerana taraf pendapatan mereka masih ditahap rendah sudah tentu tidak mampu menyewa rumah yang lebih besar yang kadar sewanya lebih tinggi.

“Apalagi untuk membeli sebuah rumah di kawasan bandar justeru menyewa di PPR dengan kadar sewa yang termampu sudah tentu meringkan beban mereka tinggal di bandar samada bekerja di sektor kerajaan, swasta atau berkerja sendri,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengumuman Ketua Menteri yang menarik balik arahan dari LPPB bagi penyewa PPR yang melebihi 10 tahun di PPR Taman Puri Warisan Inana, Bukit Setia dan Taman Jaya Diri untuk mengosongkan kediaman disewa mereka.

Menurut Bung yang juga ADUN Lamag sudah tentu keputusan kerajaan ini dapat meringkan beban penyewa yang kebanyakannya golongan B40 dan kadar pendapatan mereka sekadar kais pagi makan pagi kais petang makan petang.

Hajiji dalam kenyataanya berkata, beliau tidak membenarkan sama sekali bagi penyewa yang melebihi 10 tahun dikeluarkan dari rumah PPR.

Dalam pada itu Hajiji berkata beliau telah meminta Setiausaha Kerajaan Negeri agar LPPB membentangkan kepada Kabinet isu tersebut di mana menurut beliau isu tersebut adalah besar dan perlu ditangani.

“Ini isu besar, jangan lihat isu ini hanya untuk dijawab semudah itu bahkan saya sendiri dan kerajaan belum dimaklumkan tentang perkara ini,” katanya.

Dalam pada itu Bung yang juga Pengerusi Barisan Nasional Sabah kesal dengan kenyataan Pengerusi LPPB yang juga ADUN Kuamut, Datuk Masiung Banah yang membuat keputusan gelojoh dan tidak merujuk kepada kerajaan dan Ketua Menteri sebelum membuat sebarang kenyataan dan keputusan.

Menurut Bung, Masiung selaku Pengerusi LPBB dan juga wakil rakyat perlu memahami keperitan rakyat terutamanya golongan B40 dalam keadaan ekonomi yang semakin terjejas ketika ini.

“Beliau (Masiong) perlu bijak bukannya bertindak seperti seorang yang tidak bijak membuat kenyataan sehingga merunsingkan rakyat terutama penyewa penyewa di PPR di negeri ini,” katanya.

Bung berkata tuduhan Masiung ada pihak terutamanya pembangkang mempolitikan isu ini juga nampak dangkal dan hanya presepsi beliau, sedangkan ini melibat isu kesejahteraan rakyat kemanusiaan.

“Kita faham ini soal polisi dan dasar yang kita (manusia) gubal, sebagai yang terlibat dalam pengubalan dasar kita juga perlu melihat isu seperti ini dari sudut kemanusian,” tambah Bung.

Katanya kenyataan dari beberapa pihak antaranya Ketua-Ketua UMNO bahagian merupakan keluh kesah rakyat terutamanya penyewa PPR yang perlu disampaikan kepada kerajaan untuk diambil perhatian dan tindakan bukannya berniat mempolitikan isu tersebut.

Dalam pada itu Bung turut menyokong candangan agar rumah PPR ini dijual terus kepada penyewa iaitu sewa beli di mana menurut beliau cara ini membolehkan golongan B40 terutamanya penyewa PPR memiliki rumah sendiri.

“Perkara ini telah pun dilaksanakan di beberapa buah PPR di Kuala Lumpur, rumah dijual kepada penyewa dalam kadar yang mampu milik, kita meminta agar kerajaan negeri melakukan rundingan dengan kerajaan pusat khususnya Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan.

“… agar rumah rumah PPR di Sabah juga boleh djual kepada penyewa apatah lagi yang telah menyewa lebih 10 tahun dan membayar sewa tanpa sebarang masalah,” katanya. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit