Pemuda UMNO Selar Kenyataan Biadab Tony Pua

KUALA LUMPUR, 24 Jun – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menyelar tindakan biadab Tony Pua yang menggelar Barisan Nasional (BN) sebagai pakatan korup dan sekaligus mewujudkan ketidakpuasan hati di kalangan akar umbi UMNO di bawah.

Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata Tony harus menyedari bahawa tindakan beliau ini sedang merobek keharmonian dan kesepaduan yang sedang dibentuk di dalam Kerajaan Perpaduan yang lahir atas dasar toleransi dan semangat nasional.

“Pergerakan Pemuda ingin mengingatkan bahawa negara ini ketika di bawah pentadbiran BN yang beliau gelar sebagai pakatan korup telah memacu negara dengan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan di bawah BN juga Malaysia telah diangkat oleh Bank Dunia dan Forum Ekonomi Dunia (WEF) yang menyatakan Malaysia adalah negara ke-23 paling kompetitif di dunia.

“Ini termasuklah kejayaan BN meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sehingga mencatatkan nilai RM1.4 trilion termasuklah usaha memperkasa aset syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan mencecah beratus bilion dan beri pulangan tinggi kepada rakyat dan kerajaan seperti Khazanah Nasional yang naik dari RM32 bilion kepada RM116 bilion dan rizab tunai Petronas naik dari RM30 bilion kepada RM174 bilion.” katanya.

Dr Akmal yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin berkata namun ketika negara beralih kepada kepimpinan Pakatan Harapan (PH) yang pada ketika itu Tony Pua dilantik sebagai penasihat kepada Menteri Kewangan Lim Guan Eng, negara melalui zaman gelap sehingga kerajaan tersebut rebah dalam tempoh 22 bulan.

Jelas beliau lagi Tony yang bertugas di Kementerian Kewangan tidak mampu memacu perkembangan ekonomi negara sehingga KDNK jatuh merudum dan hutan negara meningkat secara mendadak.

Menurut Dr Akmal ia belum lagi mengambil dikira dengan kejatuhan nilai mata wang Ringgit akibat tindakan dan keceluparan beliau yang memberi gambaran negatif tentang negara.

“Justeru itu, Pergerakan Pemuda menyarankan agar Tony Pua untuk cermin dahulu diri sendiri sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan sedangkan beliau hanya tin kosong yang tidak memberi manfaat kepada pembangunan negara.

“Jangan dek kerana tindakan biadab seorang individu seperti Tony akan mengakibatkan keharmonian dan persefahaman yang ingin dibentuk tergendala dan berhenti di tengah jalan.

“Tony harus belajar bahawa kehadiran UMNO di dalam Kerajaan Perpaduan adalah aset penting dalam memastikan nasib dan igauan ngeri orang melayu ketika 22 bulan di zaman PH tidak kembali berulang.

“Selain itu juga, kepakaran dan pengalaman menteri BN ketika ini juga yang menjadi faktor penting kepada kelancaran pentadbiran Perdana Menteri ke-10. Pergerakan Pemuda menuntut Dap agar mengambil tindakan tegas kepada Tony Pua,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.