Jangan Layan Kenyataan Bertentangan Pendirian Rasmi Kerajaan Perpaduan – Zahid
SEREMBAN, 24 Jun – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta semua pemimpin parti itu supaya tidak melayan sebarang kenyataan mana-mana individu yang bertentangan dengan pendirian komponen parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan.
Beliau berkata sekiranya pemimpin UMNO mudah memberikan reaksi balas terhadap sebarang kenyataan negatif berkenaan ia menggambarkan seolah-olah perkara itu sebagai masalah besar meskipun sebenarnya ia bukan pendirian parti.
“Saya telah beritahu, jangan ada reaksi untuk membalas dan sebagainya daripada pihak kita kerana jika isu ditimbulkan dan kita bereaksi, ia nampak seolah-olah itu masalah besar, sebenarnya tidak, ia bukan masalah utama.
“Ini kerana ia tidak menjadi dasar atau pegangan, pendirian apatah lagi ketetapan mana-mana kepimpinan parti, pegangan kami ialah rundingan yang dijalankan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).. ayuh kita terus bergerak ke hadapan, jangan membaling batu di rumah kaca,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Amanat Presiden bersama jentera UMNO Negeri Sembilan yang turut dihadiri Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan dan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias.
Ahmad Zahid berkata demikian bagi mengulas kenyataan bekas Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua semalam yang menggelarkan BN sebagai pakatan ‘korup’ dan berharap PH dapat membentuk kerajaan sendiri tanpa membabitkan UMNO dan BN sekiranya gabungan itu menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Setiausaha Agung DAP Anthony Loke yang sudah menegaskan bahawa kenyataan dibuat Pua adalah atas kapasiti individu dan tidak mewakili kepimpinan parti.
Ditanya mengenai pengagihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Negeri Sembilan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, Ahmad Zahid berkata BN meminta pertimbangan untuk diberikan tambahan dua kerusi daripada 16 kerusi dimenangi BN sebelum ini.
Mengenai perjumpaan hari ini, beliau berkata parti itu telah memutuskan untuk menggunakan pendekatan kempen berbentuk baharu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
“Kita lihat dalam PRU15, organisasi kita cukup berstruktur namun mungkin pendekatan kita perlu diperbaiki, masa ini saat sesuai untuk kita baiki jentera pilihan raya. – BERNAMA