Tiada Pembangunan Di Terengganu Jika Pas Terus Mentadbir – Ahmad Said

MARANG, 23 Jun – Terengganu bakal mengikuti jejak langkah negeri jirannya, Kelantan yang mundur dalam pelbagai aspek pembangunan jika PAS terus diberi mandat mentadbir negeri itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata perkara itu tidak mustahil apabila mengambil kira ketiadaan sebarang pembaharuan atau kemajuan ketara dibawa ke Terengganu sejak PAS merampas negeri itu daripada BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Tiada pembangunan, tiada apa-apa (di bawah pimpinan PAS), tetapi orang Kelantan tiada masalah sebab mereka boleh cari kerja di Kuala Lumpur, orang Terengganu dia tak berapa nak keluar sangat. Jadi, mereka akan jadi mangsa. Tengok di Kelantan, isu air sudah hampir 30 tahun pun belum selesai.

“Dalam PRU15 rakyat beri peluang PAS menang 8-0 (menang semua kerusi Parlimen Terengganu) dan apa rakyat dapat? Tiada menteri atau timbalan menteri dari negeri ini dan tiada peruntukan untuk negeri. Siapa yang rugi? Rakyat rugi tiada pembangunan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran jentera PRN BN Terengganu di sini malam tadi.

Menurut Ahmad, rakyat Terengganu akan menerima lebih banyak kemudahan jika kerajaan negeri dan kerajaan pusat daripada gabungan parti yang sama, terutamanya dalam isu menerima peruntukan untuk pembangunan negeri.

“Sebab itu kita nak rakyat Terengganu bertukar, dalam PRN kali ini beri semula (mandat) kepada BN. Banyak benda kita sudah rancang untuk dibuat… Terengganu di bawah PAS dengan dua menteri besar dari Marang (Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar), apa orang Marang dapat?.

“Kita harap pengundi UMNO sedar akan perkara ini dan jangan lagi digula-gulakan (dengan politik wang). Sebab kita mahukan pembangunan untuk Terengganu yang ada potensi pelancongan ini,” katanya.

Sementara itu, mengenai agihan kerusi antara gabungan BN dan Pakatan Harapan (PH) di negeri itu, Ahmad yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal berkata perkara itu telah lama selesai namun keputusan akhir masih belum ditentukan pucuk pimpinan parti.

Terdahulu, Ahmad dilaporkan media sebagai berkata rundingan pengagihan kerusi di peringkat negeri untuk 32 DUN Terengganu dalam kalangan parti dalam kerajaan Perpaduan diadakan sebanyak tiga kali sebelum diserahkan kepada pimpinan tertinggi parti untuk diputuskan.

Pengarah Pilihan Raya Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri Ahmad Sabri Ali sebelum ini pula dilaporkan pihaknya meminta BN mempertimbangkan tujuh kerusi DUN untuk ditandingi PKR pada PRN akan datang. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.