Keberadaan Dalam Kerajaan Perpaduan Tak Cairkan Identiti Perjuangan UMNO – SUA

KUALA LUMPUR, 23 Jun – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata UMNO telah membuktikan keberadaan dalam Kerajaan Perpaduan tidak sesekali mencairkan identiti perjuangan parti.

Jelas beliau ini seiring dengan Perlembagaan UMNO Fasal 3.1 untuk menegak, mempertahan dan mengembangkan ajaran Islam sebagai agama Persekutuan tanpa mengurangkan penghormatan kepada agama dan bangsa lain.

“UMNO sebagai parti tunjang orang Islam Melayu tidak pernah mengabaikan prinsip dan perjuangan Islam Melayu, Bumiputera. Sebab itu ketika menubuhkan kerajaan ini kita meletakkan secara jelas di dalam dua perjanjian.

“Pertama perjanjian bagi memulakan perundingan kita letakkan kalau setuju untuk membentuk kerajaan mestilah kerajaan tersebut menjunjung Perlembagaan Persekutuan dalam konteks kepentingan Islam, kedudukan Melayu Bumiputera, Raja-raja Melayu dan Bahasa Melayu.

“Jangan sesekali menyentuh soal-soal ini yang boleh mengganggu gugat sensitiviti dan kemarahan orang Melayu dan Islam.

“Kedua kita juga mewujudkan kesefahaman setelah membentuk kerajaan ini atas nama perjanjian gabungan Kerajaan Perpaduan Malaysia yang mana salah satu syarat pertama yang kita letakkan Islam, Melayu Bumiputera, Raja-raja Melayu dan kepentingan Bahasa Melayu jangan sesekali dipersoalkan,” katanya menerusi video Tiktok yang dikongsi beliau.

Menurut beliau, disebabkan itu tidak kedengaran lagi suara-suara sumbang sebagaimana 22 bulan pengalaman dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) dahulu.

Katanya ini kerana kerajaan bukan sepenuhnya di bawah PH sebaliknya kerjasama di antara lima gabungan utama parti iaitu Barisan Nasional, PH, Gabungan Parti Sarawak (GRS), Gabungan Rakyat Sabah dan Warisan.

“Justeru UMNO akan terus mempertahankan asas-asas Perlembagaan UMNO itu sendiri dan juga pasak-pasak Perlembagaan Persekutuan,” tegas beliau.

Dalam pada itu, Dr Asyraf turut sama menafikan dakwaan Islam terancam di bawah kerajaan semasa sebaliknya menerusi Bajet 2023 peruntukan sewajarnya telah diberikan bagi memperkasa agenda Islam.

Ujar beliau, kerajaan telah meluluskan RM1.5 bilion tambahan kepada peruntukan terhadap pembangunan syiar Islam melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan institusi-institusi agama di bawah Jabatan Perdana Menteri.

“Dasar Tahfiz Negara diteruskan dengan peruntukan RM120 juta untuk melahirkan 125,000 huffaz profesional.

“Dasar Pendidikan Islam terus diperkasakan dengan guru-guru pendidikan Islam sahaja hari ini sudah berjumlah 101,730 orang, 229 sekolah-sekolah agama bantuan kerajaan, 61 sekolah menengah kebangsaan agama.

“Itu tidak termasuk 13 sekolah-sekolah agama berorientasikan asrama penuh Islam dan ini juga tidak termasuk peruntukan di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) dalam konteks pembangunan pendidikan, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Institusi-institusi Kemahiran MARA, Kolej Poly-Tech MARA dan sehinggalah ke peringkat UniKL yang lebih daripada RM2.1 bilion,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.