Isu Penjualan Tanah Kepada Kroni, Pas Khianat Kepada Rakyat Terengganu – Ahmad Said

MARANG, 23 Jun – Kerajaan Negeri Terengganu yang ditunjangi oleh Pas dianggap telah mengkhianati rakyat kerana menjual tanah seluas 70 ekar dengan harga amat murah kepada kroni mereka.

Perkara itu didedahkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said pada satu sidang media selepas program Ceramah Perdana Gelombang Biru 2.0 dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu.

“Hari ini saya telah mendedahkan kepincangan dan pengkhianatan Pas kepada rakyat Terengganu.

“Pertama, kita lihat sendiri bagaimana Pas telah meluluskan sebidang tanah seluas 70 ekar kepada kroninya, bertempat bersebelahan Balai Bomba Santung, Paka kepada Falah Maju Sendirian Berhad (Sdn Bhd).

“Pada peringkat awalnya, tanah ini diluluskan bagi membangunkan kolej atau universiti swasta. Tapi apabila salah satu syarat yang diberikan ialah pihak Falah Maju mestilah mendapat kelulusan atau surat universiti berkenaan agar membolehkan tanah ini dipertimbangkan,” katanya.

Menurutnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal itu, tanah pembangunan yang berkeluasan 70 ekar tersebut hanya dijual pada harga RM70,000 kepada kroninya.

“Pada mulanya, permintaan tersebut ditolak namun apabila projek tanah ini dimasukkan buat kali kedua, syarat kelulusan universiti tidak ada lagi… yang ada hanya projek untuk pembangunan.

“Pembangunan ini seluas 70 ekar dengan harga penilaian semasa ialah RM14,165,000. Tetapi tanah yang diluluskan pada 17 Februari 2021 dan dikeluarkan geran tanah pada 10 Mei 2021, hanya RM1,000 seekar iaitu RM70,000 sahaja.

“Sedangkan orang kampung terpaksa membayar harga yang lebih mahal untuk tanah pertanian ladang kelapa sawit. Syarikat kroni mereka dapat 70 ekar untuk bangunan untuk harga yang sangat murah,” katanya lagi.

Jelas Ahmad lagi, sekiranya terdapat penyelewengan yang berlaku, beliau akan membawa perkara ini kepada pihak sewajarnya.

“Semasa saya jadi Menteri Besar dulu, saya luluskan tanah kepada Kementerian Kesihatan untuk Hospital Kijal 55 ekar dengan bayaran RM800,000.

“Itu bangunan kerajaan, bukan swasta. Khianat tak khianat mereka ini? Kita akan siasat dulu siapa mereka ini memandangkan ada pertukaran nama yang berlaku.

“Sekiranya ada penyelewengan, kita akan bawa ke muka pengadilan. Daripada segi moral, ini tidak betul. Kenapa kroni dia dapat RM70,000 sahaja?” soalnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.