Bekas Pemimpin Parti Yang Kini Bersama Blok Pembangkang Diingat Kenang Jasa UMNO

JOHOR BAHRU, 22 Jun – Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Mohd Hairi Mad Shah mengingatkan bekas pemimpin parti yang kini bersama blok pembangkang untuk mengenang kembali jasa UMNO yang membawa mereka pada kedudukan kini.

Respon tersebut diberikan Ahli Dewan Undangan Larkin itu ekoran kenyataan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang berkata berkenaan kedudukan UMNO sebagai berpaut kepada Pakatan Harapan (PH).

“Saya ingin mengingatkan pemimpin lama yang berhijrah ke parti-parti lain untuk imbas kembali kedudukan, kesenangan mereka hari ini datangnya daripada parti mana? Pastinya daripada UMNO.

“Jadi apabila beliau mengatakan tidak boleh kekal selamanya saya rasa itulah adalah suatu andaian peribadi dia,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Menafikan dakwaan bekas Menteri Besar Perlis itu, Hairi berkata Kerajaan Perpaduan yang ada pada waktu ini adalah kukuh kerana mendapat dukungan daripada 19 parti-parti.

Jelas beliau menambahkan lagi komitmen kerajaan apabila parti-parti ini berpengalaman menjadi pembangkang dan juga kerajaan bagi membawa aspirasi rakyat.

“Saya melihat apa yang dibentuk oleh Kerajaan Perpaduan pada hari ini sebenarnya secara peribadi kuat, kerana UMNO sudah mentadbir kerajaan Malaysia lebih daripada 60 tahun.

“Begitu juga Dap, PKR pernah juga menjadi pembangkang dan kerajaan, jadi apabila disatukan pastinya untuk merealisasikan hasrat rakyat untuk memastikan negara ini kukuh dan tidak ada perbalahan dari segi ancaman yang boleh dimainkan oleh parti-parti lain,” ujar beliau.

Sementara itu, mengulas lanjut berkenaan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal dilaksanakan Hairi berkata ianya membawa kematangannya sendiri kepada parti yang mendukung kerajaan.

“Dengan kesungguhan, keyakinan, kesepaduan dimiliki 19 parti ini dapat dikekalkan dan momentum yang ada ini saya pasti gerak kerja dimainkan pada PRN, menang atau kalah bukan penanda aras kepada kerajaan.

“Apabila kalah janganlah 19 parti menyalahkan sesama sendiri malahan kena lebih kuat untuk menempuh PRU16.

“Jika ditakdirkan tidak membentuk sebuah kerajaan di enam negeri ini jangan gusar dan risau saya yakin pada PRU16 kekalahan dan kemenangan ini akan menjadikan kita lebih kuat,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.