Usaha Kolektif Kerajaan Negeri Bantu Ekonomi Johor Jadi Lebih Kukuh
JOHOR BAHRU, 22 Jun – Usaha kolektif kerajaan negeri Johor dan agensi-agensi berkaitan pasca pandemik telah berjaya menempatkan ekonominya pada kedudukan yang lebih kukuh, kata Menteri Besarnya Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Beliau yang memetik beberapa statistik berkata, ekonomi Johor berkembang secara positif dan di antara negeri yang paling kukuh di Malaysia.
“Selaras dengan kesederhanaan ekonomi di peringkat nasional, kami menjangkakan ekonomi negeri Johor akan terus berkembang secara positif, menyederhana di antara 4.1 dan lima peratus tahun ini.
“Kami juga telah menunjukkan keupayaan pembayaran balik yang kukuh, kerana hasil dan rizab tunai kami melebihi keperluan untuk menampung hutang kami. Peningkatan 3.75 peratus dalam hasil dijangka pada 2023 manakala perbelanjaan mengurus dijangka turun sebanyak 11 peratus.
“Kami komited terhadap pengurusan fiskal yang berhemat dan telus,” katanya dalam ucaptama di Forum Perniagaan dan Pelaburan Johor di sini hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap itu juga berkata kemasukan pelaburan yang berkembang pesat ke Johor telah menyebabkan negeri itu muncul sebagai destinasi pelaburan langsung asing (FDI) nombor satu di Malaysia dengan lebih RM70.6 bilion.
“Malah, Johor merupakan penerima tertinggi pelaburan diluluskan dalam projek-projek pembuatan di antara 2013 dan 2021, yang berjumlah RM156.48 bilion.
“Momentum ini berterusan pada suku pertama tahun ini kerana kami berjaya menarik RM10.6 bilion dalam pelaburan yang diluluskan, lebih tiga kali ganda daripada pelaburan yang diterima pada suku yang sama tahun lepas iaitu pada RM 3.2 bilion, dan kedua selepas Kuala Lumpur,” tambahnya.
Mengenai pencapaian Maju Johor 2030, Menteri Besar berkata terdapat keperluan untuk agensi kerajaan dan sektor swasta bekerjasama dalam pelaksanaannya.
Kerajaan negeri mesti menyediakan ekosistem yang kondusif untuk menarik dan mengekalkan pelaburan dan bakat berkualiti. Terdapat juga penekanan terhadap kemampanan melalui rangka kerja alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), dengan program sokongan untuk membantu pengilang, terutamanya pengeksport, bagi mematuhi keperluan ESG di pasaran antarabangsa, kata Onn Hafiz.
“Kami sedang giat mencari lebih banyak pelaburan dalam tenaga boleh diperbaharui dan teknologi hijau yang lain, yang mana turut menyokong pertumbuhan industri baharu seperti pusat data.
“Biar saya beri jaminan yang kerajaan Johor komited untuk menggalakkan pelaburan ke negeri ini ketika kita beralih kepada ekonomi baharu. Kita bersedia dan mampu mempertimbangkan insentif yang munasabah atau menghapuskan halangan untuk memudahkan perkara (pelaburan) ini,” katanya. – BERNAMA