Tun M Sengaja Mahu Jejaskan Keharmonian Kerajaan Perpaduan
KUALA LUMPUR, 20 Jun – Ketua UMNO Bahagian Sik, Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim menyifatkan Tun Dr Mahathir Mohamad sengaja mahu menjejaskan keharmonian dalam Kerajaan Perpaduan.
Katanya ini kerana kenyataan Tun Mahathir baru-baru ini berkenaan peranan Dap yang besar dalam Kerajaan Perpaduan adalah tidak benar, sebaliknya Kabinet yang dibarisi kepimpinan hari ini adalah secara seimbang mengikut parti-parti.
“Ini tidak lain tidak bukan cubaan untuk menjatuh dan menjejaskan Kerajaan Perpaduan yang ketika ini sedang dalam pecutan untuk memastikan agenda rakyat, agenda Madani ini mencapai sasaran.
“… kerana kedudukan parti-parti yang mendukung Kabinet Kerajaan Perpaduan pada ketika ini adalah seimbang sekaligus berupaya memperkasa agenda rakyat.
“Saya rasa, lebih seimbang jika dikatakan semua parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan ini mempunyai pengaruh yang setara dalam pentadbiran. Jadi kalau nak kata Dap saja, tidak tepatlah. Jawatan nombor dua bukan dari Dap,” katanya.
Jelas beliau, tindakan dan respon bekas Perdana Menteri itu sudah dapat dijangka kerana sikapnya itu sudah diketahui rakyat seluruh negara.
Menurut beliau, sebaliknya segala agenda kerajaan dilakukan secara perbincangan terbaik dalam kalangan pemimpin negara.
“Kenyataan Tun Mahathir ini adalah bersifat dakwaan semata-mata. Kita tahu, beliau seringkali mengeluarkan kenyataan mengkritik orang lain kerana pada dia… dia saja yang tahu semua perkara.
“Segala keputusan kerajaan dibuat secara musyawwarah, dihadiri semua ahli jemaah menteri termasuk dari Dap, bukannya Dap yang memberi nasihat sendirian dari belakang,” ujar beliau. – UMNO Online