Kad Kesihatan Pahang Pride Kasih Diperluas Kepada OKU
TEMERLOH, 19 Jun – Pemberian kad kesihatan bernilai RM500 seorang menerusi Pahang Pride Kasih diperluaskan kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) tahun ini, dengan jumlah peruntukan keseluruhan program bernilai RM20 juta.
Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata jumlah peruntukan itu ditambah tahun ini berbanding RM10 juta sempena pelancaran kali pertama pada 18 Jan 2022, supaya lebih ramai rakyat menikmati manfaat tersebut.
“Pemilihan penerima OKU diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang akan berpandukan kepada data dan kriteria tertentu supaya mereka yang benar-benar layak menerima kad ini selain untuk memastikan tidak berlaku ketirisan.
“Sasaran penerima kad kesihatan juga meningkat kepada 30,600 orang tahun ini berbanding 18,000 penerima tahun lepas,” katanya pada sidang media selepas meghadiri majlis penyerahan kad itu di Dewan Tun Razak di sini hari ini.
Kad kesihatan itu membolehkan pemegangnya mendapatkan rawatan kesihatan am di 70 klinik swasta di seluruh Pahang yang dilantik sebagai panel, sekali gus membolehkan mereka mendapat rawatan segera dengan selesa.
Inisiatif itu, menurut Wan Rosdy secara tidak langsung juga membantu mengurangkan kesesakan di fasiliti kesihatan kerajaan.
Beliau seterusnya memberi jaminan bahawa jumlah penerima manfaat kad kesihatan dan pelbagai lagi inisiatif rakyat di bawah ‘jenama’ Pahang Pride akan ditambah dari semasa ke semasa, berdasarkan kepada kedudukan kewangan negeri.
Selain kemudahan kad kesihatan, Pahang Pride juga merangkumi pemberian pelbagai bentuk bantuan dan sumbangan daripada peringkat bayi hingga ke warga emas, meliputi pelbagai lapisan masyarakat di negeri ini.
Bagi kemudahan pemegang kad atau warisnya, Wan Rosdy berkata kerajaan negeri juga memperkenalkan aplikasi mudah alih ‘Pahang Pride Kasih’ yang boleh dilayari menggunakan telefon pintar.
Aplikasi itu adalah nilai tambah kepada sistem portal pahangpridecare.com yang telah digunakan.
“Aplikasi Pahang Pride Kasih membolehkan penerima kad menyemak senarai klinik panel, rekod rawatan, jenis ubatan serta baki semasa penggunaan kad,” katanya. – BERNAMA