Junjung Titah Sultan Kedah, Namun Bimbang Dijadikan Modal Politik Negatif – Shaiful Hazizy

ALOR SETAR, 19 Jun – Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin menjunjung titah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah yang mahu ruang diberikan kepada rakyat Kedah untuk menilai fakta sejarah daripada sudut yang neutral dan ilmu.

Namun begitu, Shaiful Hazizy melahirkan kebimbangan kerana ianya akan dijadikan modal politik negatif kumpulan penunggang agama dan sentimen.

“Saya dengan sebulat hati menjunjung kasih di atas titah KDYMM Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah yang dizahirkan dalam titah ucapan bersempena Hari Keputeraan Baginda yang ke-81 di Istana Anak Bukit, Alor Setar, semalam.

“Kedah merupakan sebuah negeri berdaulat yang sangat dekat dengan lipatan sejarah dan kami sekalian hamba rakyat menzahirkan rasa bertuah untuk dilahirkan sebagai warga di negeri Jelapang Padi ini.

“Berdasarkan rujukan sejarah, tiada sesiapa yang mampu menafikan perihal kedaulatan negeri Kedah dahulu yang turut meliputi jajahan Pulau Pinang hingga ke bahagian Selatan Thailand suatu ketika dahulu,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Jelasnya, beliau secara peribadi akur dengan saranan KDYMM Tuanku Sultan Kedah yang ingin rakyat bersama-sama menilai fakta sejarah secara daripada sudut yang neutral dan ilmu.

“Secara dasarnya, saya secara peribadi menjunjung titah dan akur dengan saranan KDYMM Tuanku Sultan Kedah yang mahu ruang diberikan kepada rakyat untuk sama-sama menilai fakta sejarah daripada sudut yang neutral dan ilmu. Baginda mahukan agar setiap fakta sejarah ini dikaji secara ilmiah dan lebih tersusun agar dapat dijadikan sebagai rujukan serta membawa kebaikan kepada generasi akan datang

“Pun begitu, kita juga tidak dapat menafikan sejarah kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu ini yang dimaktubkan menerusi Perlembagaan Persekutuan sebagai sumber perundangan tertinggi di negara kita.

“Perkara 1. (2) Bahagian 1 yang memaktubkan perihal Negeri-Negeri, Agama dan Undang-Undang Bagi Persekutuan, telah menukilkan ‘Negeri-Negeri Persekutuan terdiri daripada Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Sabah. Sarawak, Selangor dan Terengganu’,” katanya lagi.

Menurut Shaiful Hazizy lagi, sudah semestinya kita perlu mematuhi ketetapan Perlembagaan Persekutuan seperti yang dipersetujui Raja-Raja Melayu namun bimbang perkara tersebut disalahgunakan oleh pihak-pihak tertentu.

“Oleh yang demikian, perlulah kita mematuhi ketetapan Perlembagaan Persekutuan tersebut sebagaimana yang dipersetujui Raja-Raja Melayu menerusi tandatangan Baginda-Baginda, sekali gus menempa sejarah kemerdekaan negara.

“Namun, apa yang menjadi kebimbangan saya adalah, titah niat baik KDYMM Tuanku Sultan ini akan dijadikan modal politik negatif kumpulan penunggang agama dan sentimen. Apa yang terjadi adalah saranan murni KDYMM Tuanku Sultan ini akan dijadikan ruang oleh kumpulan penunggang agama tegar ini melindungi kegagalan mereka memberikan khidmat terbaik kepada rakyat Kedah dan pada masa yang sama menutup kelemahan mereka membangun negeri Kedah.

“Paling mengejutkan adalah kenyataan Menteri Besar yang cuba bertindak melampaui batas memberi kenyataan kepada sebuah portal berita yang mahu agar ‘Perlembagaan Persekutuan’ itu sendiri dipinda bagi ‘mengabsahkan’ pemilikan Pulau Pinang itu sendiri,” katanya lagi.

Beliau turut berharap agar pihak-pihak tertentu tidak menjadikan niat suci KDYMM Tuanku Sultan Kedah ini sebagai modal politik untuk menghalalkan kegagalan mereka.

“Hakikatnya, titah KDYMM Tuanku Sultan sama sekali tidak memberi dorongan untuk mana-mana pihak menyanggah Perlembagaan Persekutuan. Niat dan titah baginda jelas untuk kita semua semata-mata menghargai nilai dan fakta sejarah Kedah yang sangat berharga.

“Namun kebimbangan kita adalah janganlah niat suci dan murni KDYMM Tuanku Sultan ini dijadikan modal politik oleh penunggang-penunggang tertentu untuk menghalalkan kegagalan mereka,” katanya lagi.

Terdahulu, Baginda bertitah, perbincangan mengenai sejarah negeri Kedah di pelbagai platform mulai subur sejak akhir-akhir ini di segenap lapisan masyarakat, terutamanya membabitkan kedudukan negeri itu dan Pulau Pinang.

Ia dilihat sebagai satu perkembangan yang baik dan baginda berharap agar minat rakyat untuk mendalami sejarah sebenar negeri Kedah dan Pulau Pinang tidak dinoktahkan secara melulu.

Baginda bertitah, hakikat bahawa Pulau Pinang hanyalah dipajak juga perlu diperjelaskan secara terang berlandaskan fakta dan tanpa prejudis. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.