‘Kalih Bagi Sama’ Dianggap Songsang… Sanusi Disifatkan Buta Demokrasi – Shaiful Hazizy
KUALA LUMPUR, 18 Jun – Hanya orang ‘buta demokrasi’ sahaja yang menganggap kempen ‘Kalih Bagi Sama’ Barisan Nasional (BN) – Pakatan Harapan (PH) sebagai songsang, kata Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin.
Tegas beliau lagi yang juga Ketua UMNO Merbok, reaksi tersebut seolah-olah menunjukkan diri seorang penakut yang kehabisan modal politik.
“Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Sanusi Md Nor sebenarnya sedar, masa depan dan jawatannya kini berada di hujung tanduk selepas gagal dengan propaganda kononnya mahu merampas kedaulatan Pulau Pinang.
“Gara-gara ‘koyak’ dihentam orang Kedah sendiri di kiri dan kanan ekoran isu tersebut, beliau cuba perlekehkan kempen BN-PH, diselang seli dengan kemahirannya memaki-hamun musuh politik yang tidak sehaluan dengannya di pentas ceramah.
“Nampaknya sindrom ‘penyakit lama’ Pas melaungkan takbir disusuli caci nista memburuk-burukkan musuh politik melekat pekat di dada Sanusi. Entah bila parti itu akan berubah dari terus memperalatkan agama untuk kelangsungan politiknya,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online.
Kata Saiful lagi, benarlah kata Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid, kempen ‘Kalih Bagi Sama’ tidak songsang, bahkan sikap suka cari gaduh, mencarut dan memfitnah orang yang tidak sebulu dengannya adalah lebih buruk berbanding ‘songsang’.
Ujar beliau untuk kembalikan kegemilangan Kedah, tampuk pentadbiran di negeri Jelapang Padi ini perlu sealiran dengan Kerajaan Pusat.
“Menjadi Menteri Besar tidaklah semudah yang disangka. Setelah tiga tahun ‘menjahanamkan’ Kedah, jelaslah beliau tidak mampu mentadbir dengan baik dan berkesan. Berilah jawatan itu kepada yang lebih layak!,” tambahnya.- UMNO Online