PRN: PH-BN Boleh Sekat ‘Gelombang Hijau’ Jika Letak Calon Tepat

GEORGE TOWN, 16 Jun – Gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mampu menyekat kebangkitan gelombang hijau pada Pilihan Raya Negeri (PRN) sekiranya meletakkan calon yang tepat bertanding kelak.

Veteran politik, Tan Sri Mohd. Yussof Latiff berkata, faktor calon merupakan penentu sama ada gabungan PH-BN akan menjadi pilihan pengundi pada PRN di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu.

Jelas beliau, calon-calon yang bakal mewakili PH-BN itu mesti terdiri daripada mereka yang bersih daripada unsur rasuah, mempunyai kerjaya profesional serta terdiri daripada orang muda.

”Tiga kriteria ini merupakan antara perkara penting yang perlu dititik-beratkan oleh PH-BN sebelum memutuskan calon-calon mereka kerana ia akan menjadi penentu sama ada mereka berjaya atau tidak pada PRN nanti,” katanya.

Beliau mengulas mengenai kebangkitan ‘gelombang hijau’ yang dikaitkan dengan Perikatan Nasional (PN) yang dikatakan bakal menewaskan Kerajaan Perpaduan dalam PRN tidak lama lagi.

Menurut Mohd. Yussof, kejayaan calon-calon PN menumbangkan nama-nama besar PH pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU) lalu juga tidak boleh menjadi penentu bahawa PN juga bakal menang besar dalam PRN kali ini.

”Situasi PRN berbeza kerana pengundi mampu menilai prestasi gabungan PN serta PH-BN, mereka boleh lihat siapa yang buat kerja atau tidak.

”Pada masa ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga sedang menyiasat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan telah melaksanakan tindakan sitaan terhadap dua akaun bank milik parti ini.

”Perkara-perkara sebegini sebenarnya mempengaruhi penilaian rakyat ketika mereka mengundi pada PRN nanti, pengundi sekarang bijak dan mereka tahu pemimpin mana yang layak mewakili mereka,” katanya.

Dalam pada itu, tambah Mohd. Yussof, beliau juga menasihatkan UMNO-BN kembali berkempen untuk mendekati pengundi dengan memberi perkhidmatan kepada rakyat.

”Biarlah siapa sahaja yang mahu menjadi ‘poster boy’ PN kerana pada masa ini UMNO-BN berada dalam keadaan terbaik kerana sudah tiada gunting dalam lipatan.

”Jadi UMNO-BN perlu gerakkan kempen PRN sebaiknya dengan memberi khidmat kepada rakyat bagi memastikan gabungan PH-BN menang dalam PRN nanti,” katanya. – UTUSAN

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.