Pas Masih Kelirukan Rakyat Kononnya Kalimah ‘Allah’ Terancam – Khairuddin

KUALA LUMPUR, 14 Jun – Setiausaha Eksekutif Majlis Ulama UMNO (MUU), Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menempelak Pas sambil menyifatkan parti itu sengaja mengelirukan rakyat berkenaan kalimah Allah.

Jelas beliau ini kerana hakikatnya telah ditegaskan berulang kali oleh kerajaan dengan pendirian tegas sebagaimana titah Raja-raja Melayu bahawa kalimah Allah adalah milik umat Islam sahaja dalam konteks di negara ini.

“Namun, Pas berterusan mengelirukan rakyat dalam isu ini dengan tujuan menggambarkan Islam terancam dalam kerajaan Madani. Itu naratif yang sedang dibuat oleh Pas dalam ceramah-ceramah mereka. Sebab itu juga naratif liberal dan sebagainya dicanang untuk matlamat kononnya Islam terancam sebagaimana 22 bulan sebelum ini.

“Rakyat semakin sedar bahawa Islam tidak terancam dalam Kerajaan Madani malah Islam sedang dan sentiasa diperkasakan. Pelbagai program ilmu pengukuhan Islam dilaksanakan di peringkat nasional dengan penglibatan PM sendiri secara aktif.

“Bajet RM1.5 bilion yang merupakan bajet terbesar bagi JAKIM diluluskan bagi usaha memartabatkan Islam. Namun, Pas hanya mempunyai modal politik Islam terancam untuk kepentingan PRN terdekat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Menurut beliau, penarikan rayuan kes Jill Ireland adalah bertujuan menjaga kesucian kalimah Allah kerana kekalahan kerajaan dalam kes di Mahkamah Tinggi adalah berpunca daripada kelemahan pada arahan pentadbiran Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang diguna sebagai rujukan untuk merampas cakera padat (cd) bertulis kalimah Allah.

“Malah kes Jill Ireland yang menang di Mahkamah Tinggi tidak boleh menjadi rujukan undang-undang mengatasi keputusan Mahkamah Rayuan 2013 dan Persekutuan 2014 sebelumnya yang telah menoktahkan bahawa kalimah Allah adalah milik khusus umat Islam.

“Sekiranya rayuan kes Jill Ireland itu dibawa ke Mahkamah Rayuan, kebarangkalian kerajaan kalah lagi terbuka luas kerana kelemahan pada arahan pentadbiran KDN. Ia akan membuka senario baru apabila kes rampasan cd dari Indonesia bertulis Kalimah Allah ini menjadi keputusan pula di peringkat Mahkamah Rayuan. Ini yang cuba dielakkan oleh Kerajaan Madani. Semuanya demi menjaga kesucian kalimah Allah.

“Justeru, Kerajaan Perpaduan sedang berusaha mengemaskini arahan pentadbiran tersebut agar tidak lagi berulang kes kerajaan dibawa ke mahkamah apabila penguatkuasaan kalimah Allah dilaksanakan oleh KDN,” ujar beliau.

Dr Mohd Khairuddin dalam pada itu berkata ini adalah modal terbaik yang dimiliki Perikatan Nasional (PN), dengan menghasut rakyat kononnya Islam terancam namum hakikatnya ialah pembangkang yang berada dalam kedudukan terancam dan lemah dengan 74 kerusi dan kerajaan 148.

“Semuanya dengan tujuan mengelirukan agar rakyat menyokong PN dalam PRN di enam negeri. Namun, apa yang semakin disedari oleh rakyat, tiga daripada negeri-negeri ini jika terus dimenangi oleh PN dalam PRN akan menyukarkan rakyat khususnya melibatkan pembangunan kerana perbezaan penguasaan negeri dengan persekutuan.

“Negeri sangat bergantung pada Persekutuan apatah lagi jika mahu diselesaikan isu air keruh di Kelantan,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.