Melaka Laksana Kajian Menyeluruh Pelihara Adat Perpatih – Ab Rauf

MELAKA, 14 Jun – Kerajaan Negeri Melaka sedang melaksanakan kajian menyeluruh berkaitan adat perpatih bagi memastikan adat berkenaan dapat dipelihara agar ia dapat diwarisi pengamalnya, kata Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata kajian berkenaan termasuk membuka semula Balai Adat Perpatih di Alor Gajah di sini yang akan menjadi pusat rujukan bagi pengamal adat perpatih dan generasi muda di dalam dan luar Melaka.

“Terdapat dua adat yang diwarisi penduduk di Melaka iaitu adat temenggung yang diamalkan masyarakat di sebelah pantai dan adat perpatih pula diamalkan masyarakat di sebelah barat.

“Adat perpatih mempunyai banyak seninya yang diwarisi daripada keluarga sehingga pembentukan adatnya banyak bersendikan ajaran Islam dan saya melihat adat perpatih ini mestilah diberi perlindungan agar ia menjadi satu warisan yang boleh diwarisi generasi akan datang,” katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Puisi Malaysia Peringkat Kebangsaan Kali Ketiga bertemakan “Puisi Insani, Melestarikan Malaysia Madani” yang turut dihadiri Penaung Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Ab Rauf berkata usaha mengangkat adat perpatih itu bertujuan memelihara adat berkenaan sebagai satu daripada aset warisan dan budaya yang bernilai dan perlu dihargai generasi muda.

Di Melaka, adat perpatih banyak diamalkan sebahagian besar masyarakat di sekitar Alor Gajah khususnya yang tinggal berhampiran dengan Negeri Sembilan kerana adat berkenaan sinonim dengan masyarakat di negeri itu.

Adat perpatih menekankan pelbagai aspek kehidupan masyarakat termasuk soal harta pusaka, hukum nikah kahwin, pelantikan pemimpin, amalan bermasyarakat, sistem menghukum mereka yang melanggar adat atau melakukan kesalahan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.