Ahli Perlu Bersatu Teruskan Perjuangan… Kukuhkan UMNO Di Persada Politik

KUALA LUMPUR, 13 Jun – Semua ahli dan akar umbi perlu sentiasa bersatu tidak mengira usia mahupun pangkat terutamanya dalam meneruskan perjuangan parti agar sentiasa kukuh di persada politik negara.

Ketua Penerangan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Sungai Petani, Nurul Aina Jamaluddin melahirkan rasa teruja dan gembira apabila beliau diberikan peluang untuk mewakili bahagian sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 meskipun masih muda.

“Semestinya gembira kerana ini kali pertama saya menjadi perwakilan mewakili bahagian sebagai Ketua Penerangan Pergerakan Puteri.

“Walaupun masih muda, tetapi bahagian saya iaitu Sungai Petani telah memberikan saya peluang sebesar ini dan sudah pasti saya tidak akan mensia-siakannya,” katanya kepada UMNO Online.

Jelasnya, kesatuan dalam parti amat penting dan segala kerjasama perlu dipertingkatkan tidak mengira usia meskipun parti mempunyai tiga sayap yang berbeza untuk mengukuhkan UMNO.

“Setiap ahli UMNO perlu bersatu, tidak kiralah sama ada muda atau tua, semua golongan perlu bekerjasama. Mungkin yang muda banyak ilmu pengetahuan dari segi media dan sebagainya.

“…dan yang lebih matang pula mempunyai banyak pengalamannya dalam politik terutama di bahagian. Sebagai contohnya Wanita dengan program Jalinan Kasih, menyantuni rakyat dari rumah ke rumah. Bukanlah mudah untuk kita menambat hati orang yang kita tidak kenali, tetapi Wanita UMNO boleh melakukannya.

“Pada masa sama juga, perlunya untuk kita berusaha untuk menambat hati para pengundi muda, dapatkan kepercayaan mereka kepada kita dengan cara mendekati golongan muda ini secara hikmah,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Nurul Aina turut berharap agar semua perwakilan yang hadir ke PAU 2023 ini menggunakan segala input diperolehi sebaiknya ke bahagian masing-masing.

“Gunakanlah apa yang diperolehi sepanjang PAU ini untuk dibawa pulang ke bahagian masing-masing sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi negeri yang akan menghadapinya.

“…dan bagi negeri-negeri yang tidak menghadapi PRN, ayuhlah sama-sama kita menggembleng tenaga membantu sebagai jentera bagi memastikan kemenangan parti kita nanti,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.