PAU 2023 Amat Penting, Sama-Sama Cipta Kekuatan Baharu – Wan Rosdy

KUALA LUMPUR, 10 Jun – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) saban tahun amat penting untuk seluruh ahli UMNO dalam usaha memperkasa parti berkenaan di pelbagai peringkat khususnya dalam mendepani cabaran politik semasa hari ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata masing-masing perlu bermuhasabah dan menilai secara ikhlas serta mengakui kesilapan untuk langkah seterusnya bergerak ke depan dengan mencipta kekuatan baharu.

“Perhimpunan Agung UMNO penting… agar kita bermuhasabah diri, mengakui kesilapan, menilai keikhlasan… dan kemudiannya sama-sama memperkukuh azam, memperbaharui tekad, serta mencipta kekuatan baharu.

“Ini amat penting bagi membentuk UMNO yang lebih kuat, tahan diuji, serta mampu mengharungi badai cabaran pada masa depan, Insya-Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi penggulungan PAU 2023, di sini, hari ini.

Wan Rosdy seterusnya memaklumkan perkembangan terkini Majlis Perkaderan dan Latihan UMNO dengan mengumumkan penubuhan dua sekretariat iaitu Sekretariat Latihan dan Ilmu serta Sekretariat Perkaderan Anak Muda.

Katanya kedua-dua sekretariat ini akan memberi fokus kepada agenda menyediakan latihan inklusif, kepada pimpinan dan ahli parti, sekaligus memantapkan nilai jati diri, memupuk semangat setia kawan, menyemat iltizam berpasukan serta menyuntik roh setia kepada parti.

“Sekretariat Latihan dan Ilmu diketuai oleh Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin, manakala Sekretariat Perkaderan Anak Muda dipimpin oleh Datuk Hasmuni Hassan.

“Serentak itu, pelbagai gerak kerja telah dirancang. Ini termasuklah mengadakan Pemukiman Anak Muda yang akan disertai 330 Ketua Pergerakan Pemuda dan Ketua Pergerakan Puteri Bahagian dari seluruh negara pada 17-19 Jun ini,” tambahnya.

Turut dirancang tambahnya lagi pemukiman yang akan melibatkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi, Exco Wanita, Exco Pergerakan Pemuda, Exco Pergerakan Puteri dan semua Ketua-Ketua Bahagian yang dijadualkan berlangsung pada awal Julai ini.

“Alhamdulilah, Majlis Perkaderan dan Latihan mendapat kerjasama yang cukup baik daripada kepimpinan parti di pelbagai peringkat, termasuklah dari kalangan Pengerusi-Pengerusi Perhubungan, khususnya dalam mempersiapkan jentera-jentera kita untuk mendepani Pilihan Raya Negeri akan datang,” tambahnya.

Dalam pada itu beliau turut meminta Pengerusi Majlis Perkaderan dan Latihan negeri merangka agenda latihan bersasar kepada kepimpinan di peringkat bahagian selain menyusun perkaderan kepada pengundi berumur 18 tahun dan ke atas, kerana inilah cabaran besar UMNO untuk terus relevan.

Seterusnya kata beliau lagi menambah baik struktur latihan di semua peringkat supaya UMNO dapat menjamin daya ketahanan dalam dinamika politik hari ini.

Menerusi ucapannya beliau turut memberitahu pemukiman jentera Pilihan Raya Selangor, Negeri Sembilan, Kedah dan Pulau Pinang telah dilaksanakan sebelum ini dan pemukiman seterusnya adalah untuk jentera Pilihan Raya Terengganu dan Kelantan.

“Selain itu, Majlis Perkaderan dan Latihan juga sedang menyusun beberapa siri latihan bagi membina jati diri di kalangan ahli dan pimpinan UMNO.

“Program ini amat penting bagi memberi pendedahan kepada pemimpin muka baru yang semakin ramai membarisi kepimpinan bahagian di seluruh negara ketika ini. Pagi tadi, jurucakap Perlis turut membangkitkan perkara ini,” tambahnya.

Wan Rosdy turut memaklumkan penubuhan Jemaah Pemikir, sebagai entiti untuk menasihat dan memberi panduan berhubung kaedah latihan dan perkaderan yang sesuai dengan masa kini.

“Jemaah Pemikir ini akan dibarisi Leftenan Jeneral (Bersara) Datuk Seri Zaini Mohd Said, Tan Sri Datuk Dr Nordin Kardi dan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, bekas Menteri Penerangan, yang kini merupakan Pengarah Strategik BN. Kita juga akan libatkan tokoh-tokoh akademik lain dalam bidang masing-masing,” ujarnya.

Pada akhir ucapannya beliau mengajak seluruh ahli parti untuk sama-sama menanam keyakinan bahawa perjuangan hari ini berada pada landasan yang betul.

“Yakinlah bahawa kita sedang melakukan perkara yang benar dan betul. Marilah kita menzahirkan sepenuh taat setia kepada parti dan kepimpinannya. Marilah kita menjadi orang parti dengan setulus hati dan sepenuh jiwa raga.

“Hanya dengan kesedaran ini, UMNO akan kembali bangkit, kembali kuat dan kembali menerajui pergelutan kuasa ini,” tambahnya.- UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit