Laporan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki

Terima Kasih Saudara / Saudari Pengerusi Majlis
Bismillahi Ar-Rahman Ar-Rahim

SALUTASI

SEWAJARNYA MUKADIMMAH

Dewan Merdeka bergema sorakan,
Terhias indah bunga di jambangan,
Perhimpunan Agung UMNO kita jayakan,
Meneruskan legasi sebuah perjuangan.

Sederap melangkah satu pasukan,
Sedia berjuang habis-habisan,
Segala perbezaan kita ketepikan,
Kukuhkan kesatuan rapatkan barisan.

Alhamdulillah. Bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana sekali lagi pada tahun ini kita dapat berhimpun bagi melaksanaan tuntutan dan tanggungjawab kita selaras dengan Fasal 8 di dalam perlembagaan parti dengan melaksanakan Perhimpunan Agung UMNO bagi tahun 2023.

Mewakili keluarga besar UMNO, kami ucapkan selamat datang dan ahlan wa sahlan wamarhaban bikum kepada semua dif-dif kenamaan, para jemputan terutamanya parti-parti komponen Barisan Nasional dan rakan-rakan yang membentuk Kerajaan Perpaduan, seterusnya perwakilan dan pemerhati dari seluruh negara.

Di kesempatan ini, saya juga ingin mengambil peluang untuk mengucapkan jutaan terima kasih dan penghargaan yang tulus buat YB Datuk Seri Ahmad Maslan, mantan Setiausaha Agung UMNO atas segala sumbangan, dedikasi dan komitmen beliau sepanjang menjalankan amanah jawatan.

Mudah bicara suka bersenda,
Banyak pantun yang beliau cipta,
Tidak terbalas budi kekanda,
Akan dikenang buat selamanya.

PAU 2023 Pasca Pemilihan
Sidang perwakilan yang dikasihi sekalian,

Umum mengetahui bahawa ini merupakan perhimpunan yang pertama setelah berakhirnya proses pemilihan parti 18 Mac 2023. Marilah kita jadikan persidangan ini medan untuk mempertautkan kembali ukhwah, memperatkan hubungan silaturrahmi dan merapatkan saf perjuangan untuk sama-sama memperkasakan parti.

Bersama kita insafi akan amanah berat yang perlu dipikul untuk membawa semula bahtera UMNO ini agar terus gagah menongkah arus deras samudera perjuangan yang penuh gelora.

Pesan saya:
Jangan kita sambung amarah dan menyemarakkan lagi api kebencian lantaran kegagalan…
Jangan kita mendabik dada berbangga dengan kemenangan memperolehi pinjaman kekuasaan…
Jangan kita lupa untuk sama-sama menggali hikmah di sebalik setiap ketentuan…

Orang Daik bertanam bayam,
Baik lagi bertanam pegaga,
Carik-carik bulu ayam,
Lama-lama bercantum juga.

Ini masanya untuk kita menyemai semangat setiakawan berteraskan kasih sayang, kesetiaan dan nilai keikhlasan berorientasikan perjuangan. Tahniah kepada yang berjaya, kalah kekal setia…

STATISTIK TERKINI KEAHLIAN UMNO
Sidang perwakilan yang dirahmati Allah
Berbicara mengenai keahlian UMNO, suka saya kongsikan kepada semua bahawa sehingga 6 Jun 2023, UMNO mencatatkan 3,442,280 orang ahli merangkumi 22,125 cawangan dari 191 Bahagian di seluruh negara termasuk Sabah.

Untuk tahun ini sahaja, penambahan keahlian baru dari 1 Januari sehingga 6 Jun 2023, adalah seramai 13,442 orang. Meskipun acapkali UMNO dilabelkan sebagai sebuah parti pilihan ketiga, tidak popular serta tidak diterima oleh anak muda. Suka saya menarik perhatian semua adalah daripada jumlah keahlian baru yang mendaftar pada tahun ini, sebanyak 8,876 orang atau 66% adalah mereka yang berusia 18-30 tahun. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Puteri UMNO atas pertambahan keahlian seramai 4,957 orang ahli baru. Ini merupakan satu petunjuk positif yang parti kita masih ada pendokongnya, masih ramai yang ingin turut serta dan UMNO parti yang sentiasa terbuka.

Untuk statistik bilangan ahli teramai, diterajui oleh 4 negeri. Sabah mengunguli senarai dengan 604,328 orang. Diikuti negeri Johor dengan 455,125 orang. Selangor seramai 432,030 orang. Kedah 302,939 orang.

Manakala, 5 Bahagian yang mencatatkan bilangan ahli tertinggi adalah 3 bahagian dari Sabah (Lahad Datu – 47,223, Libaran – 41,719, Semporna – 41,285), diikuti Gombak – 38,955 dan Baling – 37,410.

Justeru, fokus dan komitmen yang seharusnya diberikan oleh seluruh kepimpinan bahagian adalah untuk memastikan mereka menjadi pengundi parti dan membina idealism agar memahami hakikat perjuangan sebenar UMNO. Ramainya ahli ini tidak akan bermakna sekiranya tidak dapat digembelingkan usaha menggerakkan mereka untuk bersama dengan agenda parti dan diterjemahkan ke dalam kertas.

Jadikanlah persidangan ini medan untuk berkongsi pandangan, pentas menyuntik kefahaman terhadap isu-isu yang melingkari lingkungan dan yang paling penting mencari pendekatan baharu untuk meraih dan mengembalikan sokongan dan keyakinan.

Sidang perwakilan yang dimuliakan,
Selepas ini kita akan mendengar Ucapan Dasar yang akan disampaikan oleh YAB Dato’ Seri Presiden bagi merungkai segala simpulan, melerai segala kekusutan, menjernihkan segala kekeruhan, mudah-mudahan azimat inilah yang akan menjadi bekalan untuk kita kembali ke lapangan perjuangan, meneruskan agenda perjuangan agama, bangsa dan tanah air.

PENUTUP
Sebelum kita meneruskan aturan Perhimpunan UMNO yang berikutnya, bersama kita menyaksikan montaj ini…

Dengan penuh takzimnya saya mempersilakan YBhg Tan Sri Pengerusi Tetap UMNO Tan Sri Dato’ Paduka Haji Badruddin Amiruldin untuk meneruskan aturan Perhimpunan Agung UMNO 2023.

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.