Wanita Guna Sains, Data Analitik Ubah Gerak Kerja, Pulihkan Sokongan Terhadap UMNO

KUALA LUMPUR, 8 Jun – Pergerakan Wanita UMNO mahu ahli sayap itu lebih fokus dalam memodenkan setiap gerak kerja dan instrumen sosial dalam usaha mendepani cabaran dan memulihkan sokongan terhadap parti itu.

Ketuanya Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata dalam masa terdekat, pergerakan itu akan menghantar beberapa ahli untuk berkursus dalam bidang sains data dan analitik, agar makna di sebalik data JR (Jalinan Rakyat) dapat diterjemahkan secara empirikal.

“Saya juga telah berbincang dengan MQA (Agensi Kelayakan Malaysia) untuk memastikan mereka ini dipersijilkan sebagai saintis data melalui institusi yang diiktiraf,” katanya ketika ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita UMNO 2023 di sini hari ini.

Beliau berkata perkara itu selari dengan saranan Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan dalam ucapan perasmiannya semalam yang bangga melihat Wanita UMNO telah mula menambah baik gerak kerja agar menjadi lebih sistematik dan diyakini.

Sementara itu, Ketua Puteri UMNO Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi menyeru para perwakilan dan kepimpinan Puteri berkolaborasi untuk mempersiapkan ahli-ahli Puteri dalam pendigitalan gerak kerja. Langkah ini penting dalam transformasi gerak kerja Puteri bersesuaian dengan revolusi industri 4.0 untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri tidak lama lagi.

Nurul Amal berkata pihaknya juga akan mengadakan retreat pergerakan Puteri UMNO bagi memastikan tekad wahdatul fikr (kesatuan fikiran) dan wahdatul amal (kesatuan tindakan) dalam kalangan ahlinya terus mekar.

“Kita balik semula kepada asas perpaduan, yang menjadi landasan berpolitik kita pada hari Ini. Kerana perpaduan, kita dapat menstabilkan pergolakan politik negara. Kerana perpaduan, rakyat masih lagi harmoni hingga saat ini. Kerana perpaduan yang kita tunjukkan, kita adalah sebahagian daripada kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Dr Akmal Saleh dalam ucapan penggulungannya menyeru ahli-ahli sayap itu supaya tidak merasa apologetik dalam membawa suara daripada akar umbi.

Sebaliknya, Dr Akmal berkata mereka seharusnya merasa bangga untuk mengangkat isu dan permasalahan yang membelenggu akar umbi parti itu.

“Bila kita cakap kita sayang parti kita ini, kita betul-betul sayang parti ini. Jadi jangan halang kami nak bersuara. Kami bersuara sebab kami sayang.

“Kebenaran itu kadang-kadang pahit. Tetapi saya nak beritahu yang pahit itulah ubat. Tak bermakna kita marah kita benci, kita marah (sebab) kita sayang …. Kami sayang parti kita parti UMNO. Kalau tak sayang kami tak cakap perkara yang betul,” katanya disambut sorakan daripada para perwakilan. – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit