Perlu Lebih Aktif, Intelektual Dekati Golongan Muda – Jeffery

KOTA KINABALU, 5 Jun – Ahli Pemuda UMNO digesa supaya berperanan lebih intelektual dalam mendekati golongan muda yang majoritinya merupakan pengundi atas pagar dan merupakan penentu kemenangan kepada parti bila berhadapan dengan pilihan raya.

Ketua UMNO Bahagian Putatan Jeffery Nor Mohamed berkata tidak mencukupi bagi pergerakan itu hanya kuat dari segi jenteranya apabila berhadapan dengan pilihan raya namun golongan muda perlu didekati dan diberikan perhatian kerana golongan muda kini mahukan jawapan kepada pelbagai isu berkaitan parti dan kerajaan.

“Pemuda UMNO dan UMNO perlu menang dalam gelanggang idea dan juga isu. Dia (golongan muda) nak tengok ketangkasan pemimpin menjawab isu dan menyerlahkan isu,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan kejohanan bola tampar tertutup anjuran Pergerakan Pemuda UMNO bahagian Putatan di Pulau Gaya dekat sini baru-baru ini.

Menurut Jeffery yang juga Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO Sabah walaupun dalam kontek Kerajaan Perpaduan di peringkat Pusat UMNO/Barisan Nasional (BN) adalah sebahagian dari kerajaan namun dalam konteks Sabah UMNO dianggap sebagai pembangkang.

“UMNO di Sabah berhadapan dengan serangan dalaman banyak isu dimainkan untuk menyerang UMNO dan Barisan Nasional termasuk pemimpin yang kebanyakannya merupakan fitnah dan perlu diperjelaskan kerana ia boleh merebak dan menjadi kepalsuan yang akhirnya diterima rakyat,” katanya.

Menurut Jeffery anggota Pemuda UMNO perlu menerima hakikat bahawa golongan muda sekarang adalah golongan terpelajar dan walaupun sesetengah daripada mereka tidak belajar hingga ke peringkat universiti, namun mereka terdedah kepada pelbagai sumber maklumat.

“Mereka amat kritikal sekali dalam Facebook, TikTok dan Twitter. Pihak lawan gunakan flaffrom ini menyerang parti dan pemimpin, maka kita (Pemuda) tidak boleh berdiam diri. Kita perlu gunakan platfrom ini untuk menangani dan memberikan penjelasan agar pemikiran pemuda tidak dirosakkan dengan dakyah mereka yang akhirnya membawa kesan negatif kepada parti,” jelas Jeffery lagi.

Beliau berkata bagi memantapkan lagi tugasan ini jentera penerangan pergerakan itu perlu membentuk satu pasukan yang aktif di media sosial seperti Facebook, TikTok, Twitter, Instagram termasuk portal bukan sahaja mempertahankan serangan pihak lawan tetapi memperjelaskan program yang telah dan akan dilaksanakan untuk parti.

“Peperangan isu akan menjadi faktor penentu undi golongan muda pada pilihan raya umum atau pilihan raya negeri akan datang, justeru kita perlu bersedia dari sekarang,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama Jeffery juga mengingatkan jentera Pemuda agar sering kali turun padang menganjurkan pelbagai program yang dekat dengan golongan muda antaranya seperti aktiviti sukan, kebudayaan, sosial, kebajikan, pendidikan dan sebagainya agar kewujudan Pemuda UMNO itu akan dapat dirasai oleh ahli parti dan masyarakat secara keseluruhannya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.