Noh Omar Harus Contohi Panglima Perang Islam – Jamal

SUNGAI BESAR, 4 Jun – Tan Sri Noh Omar tidak harus berpaling arah sebaliknya mencontohi sikap Panglima Perang, Saidina Khalid al Walid r.a yang taat kepada kepimpinannya.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos menzahirkan kekecewaan terhadap sikap bekas pemimpin UMNO itu yang bersama-sama di atas pentas Perikatan Nasional (PN) untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor yang akan datang.

Terbaharu, Noh Omar menerima jemputan dan berucap dalam Majlis Dialog anjuran Perikatan Nasional (PN) di Sungai Besar dengan niat memenangkan calon-calon daripada parti PN.

“Setelah dipecat, Saidina Khalid al Walid r.a, beliau menerimanya dengan tenang, tetap taat terhadap kepimpinan dan terus bersama serta tidak lari daripada perjuangan yang diperjuangkan sebelumnya.

“Tidak dinafikan sumbangan dan jasa Noh Omar yang begitu banyak kepada UMNO namun begitu beliau juga menerima nikmat ketika berkhidmat dalam parti UMNO,” jelas Jamal dalam satu kenyataan hari ini.

Memperincikan perjuangan pemimpin Islam itu, Jamal berkata, Noh Omar harus meyakini bahawa peperangan politik yang beliau lalui sebelum ini bukan untuk habuan dunia, tetapi untuk habuan akhirat.

“Saya berharap Noh Omar dapat merenungkan kembali dan mengambil jalan yang terbaik serta titik perjuangan UMNO bukannya mengharapkan habuan pangkat di dunia semata-mata,” jelas Jamal lagi yang turut mengakui kehebatan Noh Omar yang sebelum ini menerajui Parlimen Tanjung Karang selama enam penggal serta memegang beberapa jawatan menteri di dalam kerajaan.

Terdahulu, Noh Omar berasa kecewa tidak menjadi calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), rentetan daripada itu membawa kepada ketidakpuasan hati beliau dan telah dipecat dari parti UMNO.

Mengimbas kembali, Saidina Khalid al Walid r.a merupakan seorang tokoh hebat dalam medan peperangan dan dilantik sebagai Panglima Perang sebelum zaman pemerintahan Saidina Umar al Khattab.

Namun setelah takhta khalifah diwariskan kepada Saidina Umar al Khattab r.a, beliau bertindak memecat Saidina Khalid al Walid dengan menggantikan Abu Ubaidah r.a untuk jawatan tersebut.

Hikmah peristiwa itu menggambarkan bagaimana seorang yang ikhlas dalam mentaati Allah taala, Saidina Khalid al Walid r.a yang tidak kecewa dengan tindakan Saidina Umar r.a, kerana beliau meyakini bahawa beliau pergi berperang bukan untuk habuan dunia, tetapi untuk habuan akhirat. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.