‘Waris Sulu Jadi Alat Golongan Tertentu Dari Barat’ – Azalina

KOTA TINGGI, 2 Jun – Kerajaan tidak menolak kemungkinan waris Sulu dipergunakan golongan tertentu dari Barat, bagi menuntut Malaysia membayar tuntutan tidak masuk akal mereka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata ia berikutan waris Sulu menggunakan platform Mahkamah Timbang Tara Komersial dalam membuat tuntutan itu, berbanding Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di Belanda.

“Itu sebabnya saya cabar mereka (waris Sulu) jika betul nak tuntut dari segi hak kononnya ini (Sabah) kawasan dan hak mereka, pergilah tuntut di ICJ.

“Jadi sebenarnya saya melihat ini sebagai satu taktik untuk mereka dapat duit daripada Malaysia dengan menggunakan platform undang-undang perniagaan menerusi Mahkamah Timbang Tara Komersial.

“Saya melihat waris Sulu ini dipergunakan oleh segolongan tertentu di negara barat hanya untuk proses menuntut Malaysia membayar duit kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau pembinaan Mahkamah Pengerang, di Bandar Penawar, hari ini.

Pada 16 Mac lalu, Mahkamah Rayuan Paris dilaporkan menolak tuntutan Kumpulan Sulu untuk menguatkuasakan ‘Final Award’ seperti yang dimohon Malaysia bagi mengenepikan perkara itu.

Dalam penghakimannya itu, Mahkamah Rayuan Paris menyatakan tuntutan yang difailkan Kumpulan Sulu sebagai pihak yang menuntut itu tidak boleh diterima.

Oleh itu, keputusan yang diperoleh Malaysia pada 12 Julai 2022 untuk menangguhkan penguatkuasaan Final Award itu kekal.

Pada 15 April 2022, Malaysia memfailkan permohonan penangguhan terhadap penguatkuasaan Final Award yang dikatakan dikeluarkan oleh Dr Gonzalo Stampa pada Februari 2022 di Paris.

Pada 12 Julai 2022, hakim praperbicaraan Mahkamah Rayuan Paris memerintahkan penangguhan penguatkuasaan tanpa syarat di Perancis, sementara menunggu keputusan Mahkamah Rayuan Paris, atas alasan ia berkemungkinan menjejaskan kedaulatan wilayah Malaysia.

Kumpulan Sulu memfailkan tuntutan mencabar perintah itu pada 27 Julai 2022, dan perbicaraan mengenainya diadakan pada 16 Januari 2023.

Kumpulan Sulu sebelum ini dilaporkan membawa tindakan undang-undang ke Mahkamah Sepanyol untuk mendapatkan pampasan terhadap tanah di Sabah, yang didakwa telah dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat perdagangan British pada 1878.

Mereka membawa perkara tersebut kepada timbang tara Sepanyol pada 2019 dan kemudiannya penimbang tara Dr Gonzalo Stampa yang dilantik oleh kumpulan individu berkenaan, membuat keputusan memihak kepada pihak mereka (penuntut).

Stampa telah mengeluarkan final award dan keputusan itu digunakan untuk merampas aset Petronas di Luxembourg.

Penuntut Sulu kemudiannya meneruskan prosiding timbang tara di Perancis bagi mendapatkan final award walaupun keputusan mahkamah di Sepanyol sebelum ini memihak kepada Malaysia.

Dalam pada itu, Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang, berkata kerajaan akan meneliti keputusan Mahkamah Rayuan Paris yang akan membuat keputusan ‘partial award’ berhubung tuntutan waris Sulu itu.

“Saya maklumkan barisan peguam, jika waris Sulu kalah dalam tuntutan mereka, Malaysia perlu tuntut kos supaya bayar balik ganti rugi kos kita melantik peguam antarabangsa yang begitu tinggi,” katanya.

Azalina turut mendedahkan, peguam waris Sulu telah menghantar surat kepada Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.

“Saya dimaklumkan Peguam Negara, dua tiga hari lalu peguam waris Sulu menulis surat yang amat biadap, yang mendakwa mereka bukan sahaja ada hak ke atas Sabah, malah berhak ke atas tuntutan AS$14.92 bilion (RM68.50 bilion) yang kini kononnya turut dikenakan faedah AS$16 bilion (RM73.46 bilion).

“Surat peguam waris Sulu itu sudah dijawab Peguam Negara. Namun, kita juga menyatakan jangan memandang rendah keupayaan Malaysia sebagai sebuah negara Islam berdaulat dan merdeka.

“Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kabinet mengeluarkan arahan supaya kita lawan habis-habisan tuntutan tidak masuk akal waris Sulu kerana Malaysia negara bebas, merdeka dan bermaruah,” katanya. – BHarian

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.