Politik Kepartian; Politik Permusuhan Atau Persaingan?

1. AMAT sukar untuk setengah pihak menerima bahawa politik kepartian adalah ijtihad politik. Penglibatan setiap parti hatta parti yang berasaskan kecenderungan Islam dalam pilihan raya adalah persaingan untuk merebut kuasa dan berlumba menampilkan siapa yang terbaik dalam menguruskan kerajaan Malaysia.

2. Dalam konteks Malaysia kita ada Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara dan Sultan serta Raja sebagai Ketua Negeri. Parti-parti bersaing menawan hati rakyat dengan agenda mereka untuk menjadi ketua kerajaan mewakili Yang d-Pertuan Agong atau Sultan sama ada Perdana Menteri di peringkat persekutuan atau Menteri Besar dan Ketua Menteri peringkat negeri.

3. Justeru, jika UMNO, PKR, PAS, Amanah, DAP, MCA, Gerakan, GPS dan GRS serta Warisan bersaing menampilkan manifesto dan kejayaan masing-masing menguruskan kerajaan ia adalah persaingan politik bukannya permusuhan politik.

4. Jika mereka bekerjasama membentuk persepakatan ia adalah ijtihad masing-masing menurut masa dan keadaan kerana keperluan perjuangan parti masing-masing. Persepakatan mungkin dibina hari ini dan dirungkai esoknya. Saingan politik menjadi rakan kerjasama dan rakan kerjasama bertukar menjadi saingan dan lawan politik. Itulah demokrasi berparti dan berpilihanraya.

Ijtihad Politik Kepartian di Turkiye

5. Saya pernah menulis sebelum ini bagaimana Parti Saadat sebagai parti berbasiskan Islam bekerjasama dengan parti sekular Turkiye yang diasaskan oleh Kamal Attartuk iaitu Parti Rakyat Republikan (CHP) dalam pilihan raya Presiden 2023 yang lalu menentang satu lagi parti yang dilihat Islamis iaitu Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) yang diasaskan oleh Erdogan.

6. Sebelum itu pada pilihan raya kerajaan tempatan 2019 Erdogan menubuhkan Pakatan Rakyat diwakili AKP dan parti Gerakan Nasionalis (MHP) berhadapan dengan Pakatan Negara diwakili parti sekuler CHP, Iyi Parti, Parti Demokratik Rakyat (HDP) dan Parti Saadat.

7. Ketika lawatan rasmi saya sebagai Menteri ke Turkiye 2021 saya juga berkunjung hormat menemui Presiden Saadat Party, Karamullahaglu di Ankara mendengar sendiri apa hujah beliau dulu apabila membuat keputusan bekerjasama dengan CHP, parti sekular Turkiye dalam pilihan raya kerajaan tempatan 2019 menentang Erdogan meskipun pendirian itu ditegur sendiri oleh Mursyidul Aam Parti Saadat yang lebih cenderung untuk Parti Saadat bekerjasama dengan AKP. Saya juga sempat menemui sendiri Mursyidul Aam tersebut untuk mendengar punca perbezaan pendapat dalam Parti Saadat ini.

8. Sebelumnya lagi, saya pernah bertemu sendiri dengan Presiden Parti Saadat ini ketika pilihan raya Presiden 2018 mendengar sudut pandang beliau yang juga sebagai calon Presiden menentang Erdogan.

9. Saya pernah juga menemani Presiden PAS pada tahun 2019 bertemu dengan Dawud Uglu dan Abdullah Gul, kedua-duanya bekas Perdana Menteri dan Presiden Turkiye daripada AKP untuk mendengar sendiri punca mereka meninggalkan AKP dan menentang Erdogan. Krisis antara Erdogan dan Dawud Uglu sendiri telah bermula sejak 2016 lagi. Akhirnya Dawud menubuhkan Parti Masadepan.

Ijtihad Politik Kepartian di Indonesia

10. Di Indonesia pada 1998 dan 1999 lahir empat parti berbasiskan Islam iaitu Parti Kebangkitan Bangsa (PKB), Parti Keadilan Sejahtera, Parti Bulan Bintang dan Parti Amanat Nasional.

11. PKB dipimpin oleh Abdulrahman Wahid yang didokong oleh Nahdah Ulamak sebuah pertubuhan Islam terbesar Indonesia. Penglibatan dalam pilihan raya 1999 membawa beliau menjawat jawatan Presiden Indonesia.

12. PKS pula bekerjasama dengan parti pemerintah daripada pilihan raya 2004 hingga 2014 selama tiga penggal dan menjadi menteri. Namun sepanjang pemerintahan Jokowi sejak 2014 PKS memilih menjadi pembangkang. Parti ini dilihat mendapat sokongan pertubuhan dakwah Muhammadiyah, Indonesia. Pada tahun 2019 berlaku perpecahan dalam PKS sehingga tertubuh parti Islam baru Partai Gelombang Rakyat Indonesia pimpinan Anis Matta bekas Presiden PKS.

13. Parti Bulan Bintang yang ditubuhkan pada 1998 pula adalah penerus kepada Parti Masyumi (Majlis Syura Muslimin Indonesia) yang ditubuhkan pada 1945 dan dibubarkan pada 1960. Pada pilihan raya 2019 parti ini menyertai Koalisi Indonesia Maju yang mendukung Joko Widodo sebagai calon Presiden Indonesia.

14. Parti Amanat Nasional pula ditubuhkan antaranya oleh Prof Amien Rais bekas Presiden Muhammadiyyah. Pada 2021, beliau keluar daripada Parti Amanat Nasional lalu menubuhkan parti baru dinamakan Parti Ummah.

15. Semua parti-parti utama berbasiskan Islam di Indonesia ini kekal bersaing dalam 5 kali pilihan raya sejak 1999 sehingga pilihanraya 2019.

Ijtihad Politik Kepartian Di Algeria

16. Di Algeria, lahir tiga parti Islam daripada pemuka-pemuka dakwah Algeria iaitu Parti Jabhah Inqaz (FIS) pimpinan Dr Abbas Madani pada 1988, Gerakan Nahdah pimpinan Jabullah pada 1989 dan Gerakan Masyarakat Sejahtera (HAMAS) pimpinan Mahfuz Nahnah pada 1990.

17. FIS menang besar dalam pilihan raya 1991 dengan majoriti 82% kerusi, namun berlaku bantahan besar-besaran dan kemudian tragedi berdarah menyebabkan Dr Abbas Madani ditangkap pada 1991, kemenangan mereka dibatalkan oleh tentera pada 1992 dan parti FIS dibubar oleh pemerintah.

18. Parti HAMAS pula selepas Konvensyen Perpaduan Nasional anjuran Presiden Algeria menyertai kerajaan pada 1994 sehingga 2012 dan memegang jawatan menteri di beberapa kementerian. Sepanjang tempoh itu HAMAS membuat kerjasama politik dengan Parti Barisan Pembebasan Nasional yang menjadi kerajaan sejak kemerdekaan Algeria 1962 dan berfahaman kiri Sosialis dan Nasionalis.

19. Namun pada tahun 2009 parti Islam ini berpecah kerana berbeza pendapat dalam isu kerjasama politik dengan parti pemerintah dalam pilihan raya Presiden. Kesannya pimpinan nombor dua HAMAS, Abdul Majid Munasirah yang pernah menjadi menteri beberapa penggal keluar parti dan menubuhkan parti Islam baru dinamakan Gerakan Dakwah dan Perubahan. Saya selalu bersama dengan tokoh ini bermesyuarat dalam satu pertubuhan antarabangsa yang beliau menjadi Presidennya dan saya menjadi ahli jawatankuasanya.

20. Pada tahun 2012 HAMAS membuat ijtihad politik baru dengan keluar daripada kerjasama politik Pakatan Utama Algeria yang memerintah Algeria untuk menubuhkan pakatan baru dengan parti-parti Islam yang lain iaitu Gerakan Nahdah dan Parti Reformasi yang dinamakan Gabungan Hijau Algeria. Gabungan ini dijangka menang besar dalam pilihan raya 2012 tetapi malang mereka kalah teruk dengan hanya mendapat 48 kerusi berbanding bilangan kerusi yang dimenangi oleh HAMAS iaitu 52 kerusi pada pilihan raya 2007.

21. Keadaan ini membawa HAMAS keluar daripada Gabungan Hijau Algeria dan parti itu sendiri berpecah lalu lahir 2 lagi parti Islam iaitu parti Himpunan Harapan Algeria (HHA) dan parti Gerakan Pembinaan Nasional pada 2013. HHA berjaya menggabungkan 50 orang ahli Parlimen dan bekas ahli Parlimen HAMAS bersama mereka. HAMAS kemudiannya memulau pilihan raya Presiden pada 2014.

22. Parti Gerakan Nahdah pula berpecah bermula 1995 dalam isu kerjasama politik dengan parti pemerintah. Presidennya Jabullah menolak kerjasama dengan parti pemerintah pada 1997 menyebabkan beliau dijatuhkan daripada jawatan Presiden pada 1998 dan parti Gerakan Nahdah kemudiannya masuk dalam kerajaan.

23. Jabullah menubuhkan parti Islam yang baru dinamakan Parti Reformasi. Tahun 1999 beliau bertanding sebagai calon persendirian dalam pilihan raya Presiden dan sebagai calon mewakili Parti Reformasi pada pilihan raya Presiden 2004. Tahun 2012 beliau sekali lagi terbuang daripada parti yang beliau asaskan lalu beliau menubuhkan parti Islam baru dinamakan Barisan Keadilan dan Pembangunan.

Kesimpulan

24. Demikianlah ijtihad-ijtihad politik kepartian hatta di kalangan Islamis. Dalam suasana itu siapakah boleh mendakwa dia lebih benar dan tepat pada ijtihadnya? Wajarkah saingan politik hatta di kalangan Islamis digelar sebagai musuh lalu diputuskan hubungan persaudaraan Islam?

25. Lebih dahsyat lagi apabila digelar dan dituduh rakan dan sahabat yang berbeza ijtihad politik kepartian sebagai musuh Islam yang layak diperangi.

26. Sesungguhnya mereka yang menyeru kepada perpecahan dan menyuburkan pertembungan permusuhan serta kebencian di kalangan ahli politik Islam dengan menggunakan hujah dan dalil umum al-Quran dan al-Hadis yang masih bersifat ijtihad sangat jauh untuk dinamakan sebagai Islamis.

27. Kenapa fenomena ini berlaku?

Antara puncanya ialah tafsiran yang silap dan salah terhadap maksud “Jamaah Muslimin dan Imam mereka” seperti tersebut dalam Hadis.

28. Mereka mentafsirkan Jamaah Muslimin itu sebagai jemaah dan kelompok mereka sahaja dan merekalah satu-satunya “jamaah muslimin” yang mesti didokong, lalu menafikan keislaman kelompok dan parti serta jamaah yang lain. Mereka mengecilkan sifat umat Islam dan jamaah muslimin yang luas merangkumi semua yang mengucap syahadah kepada kelompok kecil mereka sahaja.

29. Maka membenihlah taksub berpunca daripada tafsiran yang salah tetapi diyakini benar kerana dihurai oleh mereka yang dilihat berilmu tentang Islam. Pertembungan dan kebencian disuburkan atas nama pertembungan dosa dan pahala, syurga dan neraka lalu saingan politik digelar “musuh” yang perlu diperangi dan tidak melayakkan lagi hak persahabatan dan persaudaraan. Malah saingan politik di”neraka”kan atas perbezaan ijtihad.

27. Saya akan kupas maksud Hadis “Jamaah Muslimin” yang diselewengkan dalam ruangan yang lain insya-Allah.

Dr Khairuddin Takiri

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.