MB Kedah Semacam Kurang Menyelidik, Gimik Murahan Menjelang PRN – Mohd Yussof

KUALA LUMPUR, 1 Jun – Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) dan Pertubuhan Amanah Warisan Melayu Pulau Pinang (Pewaris) menganggap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor kurang menyelidik susulan dakwaan Kedah dan Pulau Pinang tidak ada sempadan.

Presidennya Tan Sri Mohd Yussof Latiff berkata, kata-kata Menteri Besar Kedah itu satu kata-kata yang memperlihatkan kurang menyelidik atau sengaja untuk dilihat terlalu cerdik bagi mendapat simpati pengundi dalam pilihan raya negeri yang tidak berapa lama lagi.

Sehubungan itu beliau mencadangkan supaya diadakan suatu majlis dialog diantara Pewaris – Pemenang dengan Sanusi Md Nor pada suatu tarikh yang akan ditentukan oleh kedua-dua pihak.

“Betulkah kenyataan MB Kedah itu, atau satu gimik murahan menjelang pilihan raya negeri yang akan datang?” soal beliau dalam satu kenyataan media.

Berhubung hal ini Mohd Yussof menjelaskan mengikut sumber Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Tengah, sempadan Pulau Pinang – Kedah bahagian Seberang Perai diwujudkan melalui perjanjian 6 Mei 1869 antara Inggeris dengan Siam iaitu bagi Daerah Seberang Perai Tengah, Batu Sempadan Lama bermula berhampiran Kg Perenggan dan Kg Lalang, hinggalah ke kawasan Junjong, ada enam batu semuanya diikutkan Peta tahun 1931.

“Sempadan Kedah-Pulau Pinang wujud dan dinyatakan dengan Akta 325 yang terdapat dalam Perlembagaan Malaysia,” katanya.

Dalam hal ini beliau menggariskan dari segi Perlembagaan Malaysia (Akta Kedah dan Pulau Pinang- Pengubahan Sempadan 1985), bahawa dipersetujui bahawa:

(1) Bahagian sempadan di antara Negeri Kedah dan Negeri Pulau Pinang yang di sepanjang Sungai Muda adalah diubah kepada yang di sepanjang garis tengah alur Sungai Muda sebagaimana Sungai itu mengalir sebelum sahaja berkuatkuasanya Akta ini, pengubahan tersebut kepada sempadan yang ditunjukkan dalam Pelan diserahsimpan yang dikenalpasti mengikut Pelan Warta No. PW 1000 hingga PW 1008 sebagai Pelan-

(a) yang masing-masing diperakui oleh Pengarah Ukur, Kedah/Perlis, dan Pengarah Ukur, Pulau Pinang, sebagai Pelan sempadan yang diluluskan dan yang betul sebagaimana diubah sedemikian dan kawasan sekelilingnya; dan –

(b) yang masing-masing bertarikh dan diserahsimpan dalam pejabat Pengarah Ukur,Kedah/ Perlis, dan Pengarah Ukur, Pulau Pinang.

(2) Sekiranya berlaku apa-apa perubahan dalam peraliran Sungai Muda yang disebabkan oleh proses hakisan dan enaptimbus yang semulajadi dan secara perlahan-lahan,sempadan itu hendaklah mengikut peraliran berubah Sungai di sepanjang garis tengah alur Sungai itu.

(3) Bahagian Negeri Pulau Pinang yang mengandungi-

(a) Sungai Muda yang bermula dari garis tengah alur Sungai Muda hingga tebing utara Sungai itu; dan

(b) kawasan yang diwarnakan hijau dalam Pelan No. PW 1003 diserahsimpan yang dirujukkan dalam seksyen 2; (kemudian dari ini dalam Akta ini disebut “kawasan yang tersebut”) hendaklah, berbangkit daripada pengubahan sempadan yang tersebut di atas (aa) tidak lagi menjadi sebahagian dari Negeri Pulau Pinang dan Pihak Berkuasa Negeri Pulau Pinang hendaklah melepas dan berhenti daripada menjalankan apa-apa kedaulatan terhadap kawasan yang tersebut, dan semua kuasa dan bidang kuasa Pihak Berkuasa Negeri Pulau Pinang dan Badan Perundangan Negeri Pulau Pinang dalam dan berkenaan dengannya hendaklah berakhir; dan

(c) menjadi sebahagian dari dan terletakhak pada Negeri Kedah, dan Raja Negeri Kedah hendaklah menjalankan kedaulatan, kuasa dan bidang kuasa dalam dan berkenaan dengannya, dan Badan Perundangan Negeri Kedah hendaklah menjalankan kuasa perundangannya dalam dan berkenaan dengannya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.