Tiada Langkah Tawar Pas Sertai Kerajaan Perpaduan – Ahmad Zahid

PUTRAJAYA, 30 Mei – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata tidak ada sebarang langkah digerakkan pemimpin parti dalam Kerajaan Perpaduan yang menawarkan PAS untuk menyertai kerajaan sekarang.

Beliau berkata dakwaan PAS ada pihak menawarkan untuk menyertai Kerajaan Perpaduan tidak pernah dibincangkan secara rasmi dalam kalangan 19 pemimpin parti yang menganggotai Kerajaan Perpaduan, malah tidak juga dibincangkan dalam kalangan pengerusi gabungan parti dalam Kerajaan Perpaduan.

“Jika ada pun yang mendakwa kononnya bertemu dengan pemimpin atau lapisan kepimpinan berkenaan, itu kami tidak pernah menganggap satu perjumpaan rasmi dan tidak ada satu langkah pun dibuat ke arah itu,” katanya kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan (JKPS), di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional dan Presiden UMNO berkata demikian ketika ditanya kenyataan Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa ada beberapa pihak menghubungi dan menemuinya bagi membuat tawaran menyertai Kerajaan Perpaduan, sama seperti yang didedahkan Presiden Tan Sri Abdul Hadi Awang sebelum ini.

Ahmad Zahid berkata hakikatnya kestabilan politik yang sedang wujud di Malaysia itu penting walaupun berlaku perbezaan pendirian dan pendapat iaitu perbezaan itu harus diraikan dan mengikut tatasusila menangani perbezaan pendapat. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.