Subjek Keusahawanan Perlu Diperkenalkan Bermula Di Sekolah Menengah – Ahmad Maslan

BANTING, 28 Mei –  Subjek keusahawanan perlu diperkenalkan bermula di peringkat sekolah menengah bagi memberi pendedahan awal kepada pelajar agar negara dapat melahirkan lebih ramai  usahawan pada masa depan. 

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan berkata berdasarkan statistik sedia ada, hanya 40 peratus daripada 500,000 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melanjutkan pengajian ke Tingkatan Enam, institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta serta Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Daripada jumlah itu, kira-kira 300,000 hanya memiliki SPM dan mereka akan bekerja di sektor kilang, e-hailing dan lain-lain sekali gus memenuhi golongan B40 di negara ini.

“Jika pendedahan ilmu perniagaan (keusahawanan) dimulakan lebih awal, kita akan melahirkan usahawan berpendapatan tinggi,” katanya selepas merasmikan Majlis Perhimpunan Agung Tahunan Gerakan Belia 4B Malaysia kali ke-42 dan 43 di Universiti MAHSA di sini hari ini.

Katanya cadangan itu antara isu utama dibincangkan dalam Majlis Pekerjaan Negara (MPN) yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan turut dihadiri Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, minggu lepas.

Ahmad berkata pihaknya mahu subjek itu merentas kokurikulum sekolah dan ditetapkan secara khusus kepada pelajar seperti subjek khusus lain.

“Seseorang usahawan perlu mempunyai ilmu perniagaan lebih meluas dan kaedah pemasaran yang efektif bagi mencapai kejayaan. Jika lebih ramai usahawan, maka lebih mudah sesebuah negara itu untuk maju dan kita berharap Kementerian Pendidikan akan mempertimbangkan cadangan tersebut,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ahmad turut mengumumkan peruntukan daripada Kementerian Kewangan sebanyak RM150,000 kepada Gerakan Belia 4B Malaysia bagi menjalankan program berkaitan keusahawanan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.