The Unsung Hero… Di Sebalik Kejayaan Setiap Kursus UMNO Di ILMU

BENTONG, 27 Mei – Institut Latihan Membina Ummah (ILMU) sering kali menjadi tarikan utama dan tempat berhimpun buat pendukung parti keramat UMNO dalam membina jati diri perjuangan terutama ahli-ahlinya.

ILMU, pusat latihan parti yang berkeluasan 25 ekar ini membawa simbolik tersendiri termasuk kepada pasukan the unsung hero yang berkorban bagi memastikan segala kursus yang dilangsungkan mencapai keselesaan tahap maksima. Hasnah Mat Yasin, 58, membawa peranan tersendiri di setiap kursus yang diadakan malah antara individu penting kepada ILMU.

Dikenali sebagai Moksu, beliau merupakan tukang masak yang akan menyediakan pelbagai hidangan makanan kepada peserta kursus di ILMU ini.

“Hari Isnin dan Selasa cuti sebab ganti hujung minggu kerana ada kursus, kemudian masuk kerja pada Rabu, semua staff akan bertugas membuat segala persiapan dari segi penyediaan barang masak dan sebagainya.

“Macam saya pula siapkan keperluan dapur, kemudian untuk bertugas sekiranya peserta 400 orang ke atas akan datang pukul 4 pagi tapi kalau 300 orang ke bawah saya akan masuk jam 5 pagi.

“Bergantung kepada menu-menu dan siap lebih kurang jam 10 malam … saya akan masak berterusan, sebab saya seorang sahaja masak dengan bantuan pembantu,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Bertugas di UMNO sejak 22 tahun, beliau memaklumkan nasi lemak dan nasi minyak antara hidangan kegemaran peserta yang hadir.

Sementara itu, bagi Ketua Unit ILMU, Jabatan Pentadbiran, Abdul Khalid Mohd Idris, 55, berkata pada setiap kursus akan diadakan pelbagai persediaan bagi memastikan keselesaan kepada para peserta.

Beliau turut memaklumkan seramai 19 orang kakitangan yang bertugas namun sekiranya peserta melebihi daripada 400 orang, mereka akan mengambil pekerja sambilan bagi memudahkan persediaan kursus.

“Pihak ILMU akan mendapatkan tempahan, masukkan ke kalendar kemudian menunggu surat permohonan daripada penganjur kepada Setiausaha Kerja atau Setiausaha Agung.

“Selepas mendapat minit daripada pihak pengurusan baru kita terus untuk membuat persediaan. Jadi dari situ ‘front office’ akan dapatkan maklumat untuk jadual, jumlah peserta, tempahan penginapan dan lain-lain dan dari situ juga kita mula buat belian barangan basah dan kering untuk peserta,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Abdul Khalid turut sama berkongsi pengalaman mengendalikan ILMU ketika UMNO mendepani zaman cabaran.

“Semasa UMNO mentadbir negara, selepas kalah, menjadi sebahagian kerajaan dalam tempoh itu ada banyak kekangan terutama dari segi kewangan untuk menguruskan ILMU.

“Termasuk juga ketika kita kehilangan kakitangan daripada 43 sehingga 19 sahaja dengan jumlah 900 katil jadi hendak menguruskan itu ada masanya agak sukar tapi kita mampu lakukannya dengan bantuan ibu pejabat,” katanya lagi.

Pastinya, tanpa wira-wira belakang tabir yang tidak didendang ini tentulah pelbagai program waima pemukiman, kursus dan diskusi tidak akan berjalan lancar. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.