Akta Anti Lompat Parti Kekang Wakil Rakyat Bertukar Parti Ikut Suka – Azalina

SEREMBAN, 27 Mei – Akta Anti Lompat Parti berperanan supaya tiada mana-mana individu yang bertanding di dalam pilihan raya atas tiket parti yang diwakili dan menang boleh sesuka hati bertukar-tukar parti.

Ketua Penerangan UMNO yang juga Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata akta tersebut diwujudkan sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang lalu dan juga mengekang berlakunya lagi seperti peristiwa ‘Langkah Sheraton’.

“Kita menyedari bahawa jika tiada undang-undang ini akan jadi masalah. Sebab itu sebelum pilihan raya, calon akan tandatangan perjanjian.

“Perjanjian ditandatangani supaya dalam Akta Anti Lompat Parti disahkan kerusi yang dipertandingkan itu adalah kerusi parti. Siapa pun bertanding dari parti politik, kerusi itu adalah hak milik parti politik,” katanya dalam satu program penerangan anjuran Penerangan UMNO Negeri Sembilan di Wisma UMNO Negeri Sembilan di sini, Sabtu petang.

Hadir sama Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias dan Ketua Penerangan UMNO negeri Datuk Ismail Lasim.

Mengikut rekod laporan, pada 28 Julai tahun lalu Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti, diluluskan dengan sokongan majoriti lebih dua per tiga dengan seramai 209 Ahli Dewan Rakyat dan begitu juga sokongan majoriti seramai 52 senator di Dewan Negara pada 9 Ogos.

Ia diluluskan selepas dibahas selama dua hari oleh 54 Ahli Parlimen mewakili pihak kerajaan termasuk Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang dan blok pembangkang, namun sesi perbahasan itu tidak disertai mana-mana wakil rakyat Bersatu.

Kemudiannya, Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663) yang melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti itu dikuat kuasa pada 5 Oktober setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong pada 31 Ogos dan diwartakan pada 6 September tahun yang sama.

Mengikut rekod juga, Azalina ketika itu turut menganggotai Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 dan Mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti dan lantang menggesa kerajaan menyegerakan RUU tersebut.

Mengulas lanjut, Azalina berkata sesiapa juga yang bertanding di dalam pilihan raya atas tiket parti waima dirinya sekalipun, kerusi itu adalah hak milik parti serta kemenangan yang diperolehi adalah usaha bersama jentera parti dan bukan semata-mata individu tersebut.

“Sebab sesiapa bertanding, setuju tak setuju yang menggerakkan kemenangan adalah jentera parti seperti penerangan, ceramah, wanita, pemuda… takkanlah dia menang kerana dia seorang?

“Dia menang kerana barisan dan sokongan UMNO bahagian, cawangan dan itulah kemenangan dia. Kerana yang memberi dia tempat, amanah adalah mereka yang di bawah, bukan hak milik (individu),” tegasnya di hadapan kira-kira 800 orang tenaga penggerak parti yang hadir. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.