UMNO Masih Disayangi, Sambutan Terhadap Parti Bukti Terus Dapat Sokongan – Bung

TUARAN, 26 Mei – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin yakin bahawa UMNO sentiasa disayangi ahli-ahlinya berdasarkan sambutan terhadap pelbagai program yang diadakan termasuklah Majlis Rumah Terbuka UMNO sebelum ini.

Terdahulu, beliau telah menerima sambutan dalam setiap keraian dan rumah terbuka Aidilfitri sebelum ini termasuklah dari masyarakat Mengkabong di Tuaran.

“Saya hampir tidak percaya dengan apa yang saya lihat kerana saya ingatkan ramai sudah hilang kepercayaan dengan UMNO rupanya orang di sini masih sayang parti ini,” katanya.

Bung yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata demikian kerana sebelum ini telah tular di media sosial UMNO Tuaran khususnya di Mengkabong sudah terkubur dan banyak ahlinya hilang kepercayaan dengan parti.

Namun demikian ianya terbukti tidak benar apabila majlis sambutan rumah terbuka Aidilfitri Penolong Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Sabah, Alfian Sambas di kediamannya telah dilimpahi dengan anggota parti yang menyemarakkan sokongan.

“Saya fikir sambutan ini biasa-biasanya sahaja, tapi bila saya tiba begitu ramai yang hadir menanti ketibaan saya bersama rombongan UMNO Sabah. Memanglah sambutan hari raya tapi majoritinya yang hadir terdiri dari ahli-ahli UMNO tanda mereka masih setia dengan parti,” katanya.

Menurut Bung lagi, dalam siri jelajah beliau bagi memenuhi undangan majlis rumah terbuka di beberapa bahagian UMNO sepanjang bulan Syawal lalu antaranya Lahad Datu, Kudat, Kota Belud, Tawau, Kinabatangan dan Membakut sememangnya sambutan dari orang ramai terutamanya ahli-ahli UMNO amat luar biasa.

“Ini menunjukkan kesetiaan perjuangan mereka bersama parti.”

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan Bung berkata, UMNO perlu kembali menjadi sebuah parti yang memberi khidmat kepada rakyat sekiranya mahu rakyat memberi sokongan sepenuhnya kepada parti itu terutama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).

Beliau berkata, UMNO berjaya menjadi sebuah parti yang besar pengaruhnya kerana kekuatan parti itu yang sentiasa mengutamakan khidmat kepada rakyat.

”UMNO perlu mengutamakan rakyat dengan menjadi sebuah parti yang berkhidmat hanya untuk rakyat, bukannya kepada golongan tertentu sahaja,” katanya.

Selain itu, jelasnya, UMNO juga perlu mengutamakan perpaduan antara kaum yang menjadi teras kepada keharmonian negara selama ini.

”Kesemua elemen ini adalah asas perjuangan yang perlu UMNO pertahankan dan teruskan untuk memastikan parti ini diterima rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.