Ribut Sekitar Chenor, UMNO Bahagian Maran Turun Padang Bantu Mangsa Terkesan

MARAN, 26 Mei – UMNO Bahagian Maran sedaya upaya untuk membantu penduduk sekitar Chenor yang berhadapan dengan situasi rumah rosak akibat dilanda ribut pada petang semalam.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) merangkap Ketua UMNO Bahagian Maran, Datuk Seri Shahaniza Shamsudin menerusi hantaran Facebooknya berkata, beliau telah mengadakan tinjauan bagi melihat keadaan rumah mangsa yang terkesan akibat bencana itu.

“Mendapat khabar berita berkenaan rumah yang telah dilanda ribut dek hujan lebat lewat petang semalam di sekitar Chenor.

“Awal-awal pagi ini saya telah melawat rumah mangsa yang rosak teruk akibat ribut dan angin kencang semalam di Kampung Sembai, Kertau. Kesian dan sayu melihat Pak Cik Hussain bersama isterinya duduk tunggu di hadapan rumah.

“Seterusnya, saya terus ke Kampung Sekara untuk ke rumah Pak Andak Daud yang rumahnya juga terkesan akibat ribut semalam,” katanya.

Semasa mengadakan lawatan tersebut, beliau turut menyampaikan sumbangan awal daripada UMNO kepada mangsa yang terkesan.

“Melihat kondisi tempat berteduh keduanya telah mengalami kerosakan yang teruk. Saya akan menggunakan upaya saya untuk membantu mangsa-mangsa ribut ini agar mereka dapat menumpang teduh di tempat yang lebih selesa.

“Sumbangan awal daripada UMNO Bahagian Maran telah pun saya sampaikan kepada mereka tadi,” katanya lagi.

Shahaniza turut mendoakan agar mangsa yang ditimpa bencana tersebut agar terus tabah untuk menghadapi segala dugaan dan berikrar untuk cuba membantu mereka sebaik mungkin.

“Begitulah kita sebagai hamba kerdil Allah, tidak akan pernah lari dari ujian dan cubaan. Tapi yakinlah bahawa ujian itu Allah datangkan kepada kita kerana kita mampu dan cukup kuat untuk tanganinya.

“Semoga keduanya tabah dan kuat dalam menghadapi dugaan besar ini. Saya bersama UMNO Bahagian Maran akan sentiasa buat sehabis baik untuk membantu semua yang memerlukan,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.