Pemukiman Penerangan UMNO Mampu Perkukuh Persiapan PRN Di Enam Negeri – Mohd Zaidi

KUALA LUMPUR, 26 Mei – Pelaksanaan Pemukiman Penerangan UMNO pada minggu lalu di Institut Latihan Memperkasa Ummah (ILMU) dilihat amat bertepatan dengan masa di samping bagi memperkukuhkan persiapan enam buah negeri yang bakal berhadapan Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Ketua Penerangan UMNO Negeri Selangor, Datuk Dr Mohd Zaidi Md Zain berkata, penampilan 65 peratus muka baharu yang menjawat jawatan ketua penerangan setiap peringkat ini turut memerlukan mereka bagi mendalami strategi-strategi diperlukan.

“Pertama sekali, kita melihat kepada peserta yang datang daripada bahagian-bahagian ialah penerangan bahagian di empat peringkat. Mereka ini boleh dikatakan 65 peratus adalah muka baharu.

“Saya sendiri di peringkat negeri adalah orang baharu juga dalam penerangan. Di situ saya melihat kehadiran mereka dengan satu semangat iaitu mahu memberi tumpuan sepenuhnya kepada perkara yang ingin dibincangkan.

“Saya melihat pemukiman ini adalah sesuatu yang tepat pada masanya kerana kita akan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) sedikit masa sahaja lagi. Disebabkan terdapat 65 peratus muka baharu, kalau tidak dibuat pemukiman ini mereka akan ‘teraba-raba’,” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya yang juga Ketua UMNO Bahagian Bangi, meskipun mereka ini baru saja dilantik sebagai ketua penerangan di peringkat masing-masing, ternyata mereka tidak lekang dengan idea yang bernas.

“Mereka mungkin tahu ada beberapa isu dari segi tugasan dan gerak kerja penerangan sebelum ini, tetapi perlu diperbaiki serta dipertingkatkan seiring dengan perkembangan baru dunia media sosial yang berlaku sekarang ini.

“Tetapi mereka tidak tahu untuk selitkan di mana dan menyusun atur strategi. Jadi, dengan adanya pemukiman di sini, hari ini, semua itu diperjelaskan.

“Bahkan pada sesi perbincangan yang diadakan saya tengok apabila dipecahkan kepada kumpulan-kumpulan mengikut negeri yang akan bertanding pada PRN ini untuk membuat bengkel masing-masing, idea itu mencurah-curah seolah-olah mereka ini bukan orang baharu,” katanya lagi.

Jelasnya lagi, UMNO perlu melakukan anjakan paradigma sekiranya mahu mendapatkan hasil yang berbeza pada PRN kelak.

“Nak menang ini, mestilah melakukan sesuatu yang berbeza untuk mengharapkan hasil yang lebih baik. Kalau mengulangi perkara lama dan mengharapkan keputusan yang berbeza, itu adalah harapan yang sia-sia.

“Kita nampaknya telah menerima satu keadaan ataupun perubahan yang berlaku darsawarsa ini. Semua negeri menerima hakikat itu. Sesuatu yang baharu mesti dibuat. We dare to change, berani untuk berubah.

“Jadi saya percaya, Insya-Allah pemukiman ini akan merangkumkan suatu konklusi yang cukup baik kepada peserta,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.