Jawapan Bertulis Tidak Nyatakan Siasatan Sumbangan Dana Judi Dihenti Atau Digugurkan – Azalina

PUTRAJAYA, 26 Mei – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata jawapan bertulis beliau di Dewan Rakyat semalam mengenai siasatan berhubung dakwaan ada parti komponen Perikatan Nasional (PN) mendapat sumbangan dana judi semasa kempen pilihan raya umum lepas, tidak menyatakan bahawa ia sudah dihentikan atau digugurkan.

Beliau berkata jawapan bagi pertanyaan lisan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari itu memaklumkan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hanya menyatakan tiada fail siasatan dibuka kerana maklumat yang diperoleh setakat ini adalah bersifat umum.

“Saya ingin menegaskan bahawa jawapan yang saya berikan dalam Dewan Rakyat bagi pihak SPRM tidak menyatakan bahawa apa-apa siasatan berkenaan dengan dakwaan berhubung perkara ini telah dihentikan atau digugurkan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Azalina berkata selain SPRM, terdapat agensi lain yang bertanggungjawab dan berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia dan Lembaga Hasil Dalam Negeri bagi menyiasat sebarang kesalahan jenayah yang dilakukan oleh mana-mana entiti.

“Undang-undang Malaysia tidak mempunyai sebarang had masa untuk memulakan sebarang tindakan atas kes-kes jenayah,” katanya.

Justeru, beliau berkata adalah tidak wajar untuk mana-mana pihak mempolitik atau memutarbelitkan jawapan yang diberikan berhubung isu itu mahupun membuat tuduhan tidak berasas terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya menyeru semua pihak menghormati prinsip kedaulatan undang-undang dan tidak membuat kesimpulan melulu atas jawapan yang diberi di Dewan Rakyat,” katanya.

Azalina juga berkata dalam hal ini, SPRM sebagai badan bebas dan berkecuali berhak menjalankan siasatan serta membuka fail siasatan mengikut Akta SPRM 2009 (Akta 694) atau undang-undang yang berkuat kuasa berdasarkan maklumat dan bukti yang diperoleh dari semasa ke semasa.

Menerusi pertanyaan lisannya semalam, Ahmad Fadhli ingin tahu status siasatan terhadap dakwaan bahawa terdapat parti komponen PN yang mendapat sumbangan daripada dana judi semasa kempen pilihan raya umum lepas.

Jawapan bertulis Azalina menyatakan SPRM telah menjalankan kajian terperinci berkaitan maklumat itu namun mendapati ia terlalu umum dan tiada pihak yang boleh mengesahkan isu tersebut justeru, tiada apa-apa fail siasatan dibuka.

Susulan itu, Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengeluarkan ciapan ‘PM10 tipu rakyat dan fitnah Perikatan Nasional. Terjawab sudah!’ di laman Twitter rasmi beliau serta memuat naik tangkap layar jawapan bertulis Azalina mengenai status siasatan SPRM. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.