Pemukiman Penerangan UMNO Malaysia: Langkah Terbaik Salur Maklumat Parti Kepada Akar Umbi

KUALA LUMPUR, 25 Mei – Pemukiman Penerangan UMNO Malaysia yang berlangsung pada minggu lalu di Institut Latihan Memperkasa Ummah (ILMU) merupakan langkah terbaik untuk menyalurkan segala maklumat mengenai parti secara menyeluruh kepada akar umbi.

Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Hulu Terengganu, Yufrisyam Ibrahim berkata, segala input yang diperoleh semasa tempoh pemukiman ini berlangsung amat berguna terutamanya dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Saya mewakili Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Terengganu ingin mengucapkan terima kasih dan syabas kepada seluruh jawatankuasa serta urus setia untuk Pemukiman Penerangan UMNO Malaysia yang berlangsung di ILMU.

“Ini adalah suatu langkah kerja yang wajib untuk kita dapatkan input lebih-lebih lagi apabila kita akan berhadapan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN). Apa yang saya lihat ini adalah input-input yang kita dapat pada tiga hari dua malam ini sangat penting untuk kita sampaikan di peringkat akar umbi.

“Terima kasih dan syabas kepada Ketua Penerangan, Datuk Seri Azalina Othman. Tidak dilupakan juga pengarah program iaitu Datuk Suraya dan seluruh ahli jawatankuasa yang terlibat pada tiga hari dua malam ini,” katanya kepada UMNO Online.

Sementara itu, wakil Ketua Penerangan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Pokok Sena, Ku Nur Farahi Eliana Ku Abd Razak juga merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan pemukiman tersebut.

“Perincian dan intipati program sangat menarik. Penginapan baik, makanan memang sedap. Fasiliti dan kemudahan semuanya baik. Tiada sebarang masalah.

“Saya selaku wakil daripada Kedah ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak penganjur, urus setia dan pihak-pihak yang terlibat dalam menjayakan program pemukiman kita pada kali ini.

“Saya berharap semoga objektif kita tercapai dan kita dapat bersama-sama semangat untuk menawan kembali negeri-negeri yang jatuh kepada pihak lawan,” katanya kepada UMNO Online.

Pemukiman Penerangan UMNO Malaysia yang diadakan selama tiga hari di Institut Latihan Memperkasa Ummah (ILMU), di Janda Baik berakhir pada 21 Mei lalu.

Diadakan bermula Jumaat, ianya disertai oleh pemimpin penerangan empat peringkat dikhususkan bagi enam negeri bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN). – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.