Isu Kemakmuran Rakyat Agenda Utama Pemimpin, Demi Pemerkasaan Negara

KUALA LUMPUR, 25 Mei – Pemimpin UMNO yang berada dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan terus komited dalam membawa agenda kemakmuran kepada rakyat dalam mendepani arus pemerkasaan negara.

Isu kebankrapan yang berlaku dalam kalangan rakyat Malaysia mendapat tempat sehinggakan pelbagai inisiatif dilaksanakan bagi memberi kesedaran kepada rakyat termasuk golongan muda.

Meneruskan hasrat itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan bahawa Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) telah mengadakan program outreach bagi mendekati golongan belia yang berada di peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi.

Menurutnya ia bagi memupuk kesedaran mengenai amalan pengurusan kewangan yang baik di kalangan belia.

“Ia merupakan program literasi kewangan pelan jangka pendek yang bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada belia berkenaan kesan keberhutangan yang serius dan kebankrapan ke atas seorang individu.

“Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) turut menjalankan program literasi kewangan di peringkat pendidikan formal.

“Dalam usaha untuk menerapkan ilmu pengurusan kewangan di peringkat awal, AKPK telah memperkenalkan subjek Pengurusan Kewangan Peribadi di institut pengajian tinggi (IPT) yang diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) yang membawa dua jam kredit, ianya telah dilaksanakan di beberapa IPT,” katanya.

Azalina yang juga Ketua Penerangan UMNO berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong dalam perbahasan Rang Undang-Undang Insolvensi (Pindaan) 2023, semalam.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Idris Ahmad bertanya berkenaan impak kebankrapan kepada ekonomi negara.

Azalina berkata untuk membolehkan ekonomi negara mencapai ke tahap yang optimum, negara memerlukan kerjasama setiap lapisan masyarakat, tiada siapa terkecuali termasuk golongan bankrap.

Berikut adalah impak kebankrapan kepada ekonomi negara yang dinyatakan beliau:

Pertama, kesukaran mendapatkan pinjaman: Peminjam terutama yang menceburi bidang perniagaan atau mana-mana individu yang memerlukan sumber kewangan mengalami kesukaran untuk memperoleh pinjaman. Kebanyakan institusi perbankan negara juga telah menyenarai hitam golongan bankrap sehingga menyebabkan usaha mereka untuk mengembangkan perniagaan tidak dapat dicapai. Secara tidak langsung, kes kebankrapan telah menjejaskan aktiviti ekonomi tempatan.

Kedua, penurunan nilai aset: Kerajaan mengutip hasil dari pelbagai sumber untuk menjana dana bagi tujuan perbelanjaan negara. Sebahagian besar hasil negara adalah daripada penjualan hartanah. Rakyat Malaysia secara umumnya bebas untuk menghasilkan harta melalui proses jual beli dan pelaburan hartanah/aset. Apabila seseorang individu diisytihar bankrap, harta-harta miliknya akan ditadbir oleh KPI. Dalam kes kebankrapan, bankrap tertakluk kepada pelbagai syarat serta obligasi ketat di bawah Akta Insolvensi 1967 (Akta 360). Ini bermakna penghasilan harta bankrap perlu melalui proses yang lebih panjang dan sukar untuk menjual dengan nilai yang tertinggi. Selain itu, pelabur tidak berminat untuk membuat sebarang pelaburan atau berurusan dengan golongan bankrap. Kesannya, berlaku penurunan nilai aset dari yang sepatutnya dan memberi impak kepada ekonomi negara.

Ketiga, peningkatan pengangguran: Individu bankrap turut berisiko untuk kehilangan pekerjaan atau sumber pendapatan. Kebankrapan boleh menyebabkan pertumbuhan yang lebih perlahan dalam sektor perniagaan dan perkhidmatan. Ini juga boleh memberi kesan negatif kepada ekonomi tempatan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias turut sama menyoal berkenaan kebarangkalian peningkatan kes kebankrapan sekiranya sekiranya Kadar Dasar Semalaman (OPR) dinaikkan.

Jelas Azalina ,sekiranya seseorang individu tidak mampu membayar ansuran bulanan yang tinggi disebabkan oleh bebanan kewangan yang tinggi seperti kenaikan OPR, pihak pemberi pinjam (creditors) boleh memulakan tindakan undang-undang terhadap peminjam termasuk tindakan kebankrapan.

“Secara umumnya, peningkatan kadar OPR akan memberikan kesan kepada bayaran balik pinjaman individu peminjam dan peningkatan masalah keberhutangan. Namun dalam menganggarkan risiko kebankrapan dan kesannya kepada masyarakat peranan pemboleh ubah yang lain tidak harus diketepikan.

“Selain penetapan kadar OPR, statistik kes kebankrapan adalah dipengaruhi oleh pelbagai faktor pemboleh ubah seperti sikap peminjam itu sendiri, perubahan dasar dan polisi semasa kerajaan, perubahan pada nilai ambang keberhutangan serta kestabilan ekonomi negara,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.