Azalina Tegaskan RUU Insolvensi Pastikan Tiada Rakyat Tercicir Dalam Pembangunan Negara

KUALA LUMPUR, 24 Mei – Kelulusan pindaan Rang Undang-undang Insolvensi merupakan salah satu usaha untuk memastikan pentadbiran kebankrapan di Malaysia dapat menangani keperluan dan cabaran semasa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan bahawa RUU ini menunjukkan langkah serius Kerajaan untuk memastikan pentadbiran insolvensi yang berkesan di Malaysia.

“Pindaan-pindaan yang dicadangkan melalui RUU ini oleh Kerajaan Perpaduan amatlah penting bagi memastikan sistem pentadbiran yang dijalankan di Malaysia adalah berkesan. Perkara ini dapat memastikan tiada golongan rakyat yang tercicir dalam pembangunan negara.

“Keberkesanan undang-undang yang dipinda juga sangat bergantung kepada pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang yang diluluskan. Ahli-ahli Yang Berhormat, kita seharusnya berbangga kerana pada hari ini, kita sebagai Ahli Parlimen akan menjadi sebahagian daripada pelopor usaha murni ini,” katanya.

Azalina yang juga Ketua Penerangan UMNO berkata demikian ketika menggulung ucapan perbahasan Rang Undang-Undang Insolvensi (Pindaan) 2023, di Parlimen hari ini.

Jelasnya, antara pendekatan penting yang diambil adalah membuat penambahbaikan kepada peruntukan Akta 360 bagi membantu mereka yang bankrap untuk keluar daripada kebankrapan secara automatik.

“Bankrap seharusnya diberikan peluang kedua untuk membina semula kehidupan dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara. Dalam masa yang sama pindaan turut dibuat kepada peruntukan berkaitan pelepasan automatik bagi menjaga kepentingan pemiutang dan kepentingan awam.

“Bankrap juga perlu memberikan kerjasama sepenuhnya dalam pentadbiran kebankrapan bagi membantu bankrap keluar daripada kebankrapan dalam tempoh singkat yang ditetapkan.

“Selain daripada itu, pindaan turut dilaksanakan agar pentadbiran kebankrapan seiring dengan perkembangan teknologi dan penggunaan komunikasi digital. Perkara ini dapat mempercepatkan proses pentadbiran dan memudahkan urusan semua pihak yang terlibat.”

Terdahulu, Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 11 hari bermula 22 hingga 25 Mei dan bersambung semula pada 6 hingga 15 Jun ini. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.