Tiada Hiasan Kekal Di Dewan Merdeka, Diubah Ikut Majlis Dan Program – Asyraf
KUALA LUMPUR, 23 Mei – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berharap tiada lagi salah faham membabitkan hiasan, termasuk membabitkan potret pemimpin di Dewan Merdeka.
Katanya tiada hiasan kekal di dewan tersebut kerana ianya akan digubah mengikut kesesuaian majlis dan program.
“Saya terpanggil untuk memberikan pencerahan dan penjelasan berkenaan dengan pelbagai pihak menviralkan termasuk bekas pemimpin kanan UMNO yang cuba mencetuskan persepsi seolah-olah waktu Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan Malaysia baru-baru ini di Dewan Merdeka menutup atau mengalihkan gambar-gambar pimpinan UMNO lampau.
“Tidak ada istilah nak mengalihkan atau mengubah mana-mana potret, kerana memang di dalamnya tidak ada sebarang potret ataupun apa juga hiasan kekal. Semuanya bergantung kepada cita rasa dan kehendak penganjur yang mahu menjalankan majlis,” katanya menerusi hantaran video di Facebook.
Jelas Dr Asyraf, potret pemimpin-pemimpin UMNO yang sering dilihat di bahagian kiri dan kanan dewan hanya akan dipasang ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU).
“Saya ingin menjelaskan di sini Dewan Merdeka adalah milik Pusat Dagangan Dunia (WTC) yang terbuka dari segi penyewaan kepada orang ramai, siapa sahaja ingin menganjurkan apa juga bentuk program.
“Kalau dalam konteks PAU maka UMNO akan menghiaskan ataupun minta WTC untuk menghiaskan Dewan Merdeka dengan bendera UMNO.
“Ini termasuklah potret pemimpin-pemimpin UMNO lampau tetapi dalam majlis-majlis yang lain tidak ada sebarang pun gambar potret pemimpin-pemimpin di dalam Dewan Merdeka,” ujar beliau.
Beliau berharap penjelasan ini dapat menjelaskan kekeliruan yang sengaja ditimbulkan oleh segelintir pihak termasuk bekas pemimpin UMNO.
“Penjelasan ini seharusnya menutup segala mulut-mulut yang sengaja mahu mencetuskan keraguan dan mempunyai niat jahat untuk menfitnah kepimpinan seolah-olah kita tidak menghargai atau pun melupakan jasa pemimpin-pemimpin lampau.
“Mungkin ada pemimpin-pemimpin yang sudah lama tidak masuk Dewan Merdeka, mereka lupa agaknya,” ujar beliau.
Terdahulu, Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan turut sama membidas kenyataan berhubung gambar bekas pemimpin UMNO yang didakwa ‘hilang’ semasa Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan.
Mohd Sumali berkata ini kerana penganjuran himpunan Muafakat Nasional (MN) yang diadakan sebelum ini di dewan sama juga tidak memaparkan gambar pemimpin UMNO. – UMNO Online