Tentera Laut Perlu Pemodenan – Mohamad

LANGKAWI, 23 Mei – Pemodenan tentera laut adalah penting dan pasukan itu perlu sentiasa diperbaharui dengan teknologi terkini berkaitan ketenteraan laut, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata pengabaian aspek itu akan menimbulkan kesukaran kepada pelayar dan rakyat, selain memastikan angkatan tentera laut bergerak seiring dengan ekonomi moden.

“Tentera laut mestilah bersedia untuk menghadapi sebarang senario, dilengkapi kebijaksanaan, kecerdikan dan pengalaman untuk menangani perkara yang tidak dijangka.

“Sejarah telah menunjukkan kepada kita bahawa dengan perkembangan teknologi, landskap keselamatan dan sifat hal ehwal maritim turut berubah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptamanya pada Perbincangan Meja Bulat Ketua-Ketua Tentera Laut (CNRT) sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA’23) di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di sini, hari ini.

Mohamad berkata kekayaan sesebuah negara menerusi aktiviti ekonomi berasaskan maritim saling dipengaruhi oleh keupayaannya untuk menangani isu-isu keselamatan maritim.

“Di Malaysia, kami memperkukuh kedudukan kami dan berkembang maju sebagai “Maritime Nation with Continental Roots” (negara maritim benua) mengikut Kertas Putih Pertahanan kami,” katanya.

Bagaimanapun Mohamad berkata beliau mengakui pemodenan tidak datang percuma dan belanjawan (untuk pemodenan) perlu diteliti oleh pihak berkuasa berkaitan, memandangkan pengabaian keselamatan maritim boleh menimbulkan cabaran atau kesukaran dalam bidang lain.

Terdahulu Mohamad merasmikan CNRT bertemakan ‘The Future of Naval Technology in a Changing Security Landscape: Global and Regional Trends’ (masa depan teknologi tentera laut dalam landskap keselamatan yang berubah: trend global dan serantau).

Turut hadir Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia Laksamana Datuk Abdul Rahman Ayob. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.