Pemukiman Penerangan UMNO Malaysia Lancar, Sedia Hadapi PRN

BENTONG, 22 Mei – Pemukiman Penerangan UMNO Malaysia yang diadakan selama tiga hari di Institut Latihan Memperkasa Ummah (ILMU), di Janda Baik berakhir lewat petang semalam.

Diadakan bermula Jumaat lalu, ianya disertai oleh pemimpin penerangan empat peringkat dikhususkan bagi enam negeri bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).

Pemukiman ini diadakan sebagai memperkemas dan memperkasa jentera penerangan di setiap bahagian untuk menghadapi PRN yang akan diadakan dalam masa terdekat.

Pelbagai diskusi dilaksanakan bagi memberikan pendedahan baharu kepada jentera penerangan yang dilakukan kepimpinan parti, termasuk Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajidi Dusuki; Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman; Pengarah Komunikasi UMNO Malaysia, Datuk Lokman Noor Adam.

Timbalan Presiden UMNO selaku Pengarah Jentera Pilihan Raya, Datuk Seri Mohamad Hasan hadir pada Jumaat memberikan kata-kata semangat kepada para peserta.

Mengakhiri majlis, Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyempurnakan sesi pemukiman dengan amanat bermakna untuk para pejuang penerangan UMNO bawa pulang bagi memperkemas kesiap siagaan mendepani PRN kelak.

Menerusi ucapannya beliau mengharapkan gerak kerja terbaik dilaksanakan bagi menghadapi PRN kelak. Antaranya ialah menyarankan pendekatan komunikasi baharu diaplikasi sebaiknya dalam usaha memastikan penyampaian maklumat berkesan serta menyeluruh dan dapat menolak manipulasi pihak lawan.

Pemukiman tersebut disertai seramai 300 peserta dari Kedah, Pulau Punang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.