Strategi Komunikasi Perlu Berubah, Tepati Kumpulan Sasaran – Ahmad Zahid

BENTONG, 21 Mei – Kaedah atau strategi komunikasi bukan sahaja perlu berubah malah perlu disesuaikan dengan perkembangan semasa politik hari ini supaya ianya menepati kumpulan sasaran.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sejak awal Pilihan Raya Umum (PRU) strategi komunikasi bersemuka menjadi pilihan namun realiti hari ini khususnya pada PRU-14 yang lalu senarionya mula berubah.

Justeru beliau menyarankan pendekatan komunikasi baharu perlu digunakan sebaiknya dalam usaha memastikan penyampaian yang berkesan serta menyeluruh.

“Ini adalah satu pendekatan baharu yang harus kita hadapi. komunikasi lisan hanya 13 peratus daripada keseluruhan… ini bermakna komunikasi tanpa lisan 87 peratus… maka kaedah atau method komunikasi wajib berubah.

“Hari ini kita mesti digitalkan pendekatan komunikasi kita.Kita mesti kenal ‘target group’ selain daripada pelbagai elemen lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutup Pemukiman Penerangan UMNO Malaysia, di sini, hari ini.

Turut serta Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusiki; Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir dan pimpinan yang lain.

Ahmad Zahid seterusnya menambah penerangan amat penting terhadap mana-mana parti politik.

“Kita harus lihat penerangan UMNO Malaysia dan BN Com serta komunikasi UMNO adalah entiti yang harus bergerak sebagai sel yang sama. Apa yang utama masing-masing harus lakukan muhasabah

dan apa pun penerangan adalah penting terhadap mana-mana organisasi politik,” tambahnya.

Tambahnya lagi hari ini bukan sahaja ‘produk’ BN serta UMNO malah ‘produk’ lain kerajaan perpaduan perlu diketengahkan.

“Kita ada produk yang mahu dijual… produk kita adalah BN… ’grand’ produk besar kita kerajaan perpaduan.

“Sebaik mana produk itu jika tidak ada sistem jualan yang baik ianya tidak akan berjaya. Saya mahu produk UMNO dan BN bersama dalam produk kerajaan perpaduan menjadi produk baharu dalam pasaran politik negara.Maka penjenamaan… ’packaging’ serta tawaran dan komunikasi mesti dilakukan sebaiknya,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.