Gerak Kerja UMNO Kelantan Telah Dimulakan Bagi Menghadapi PRN – Othman

BENTONG, 20 Mei – Dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal tiba tidak lama lagi, gerak kerja setiap lapisan kepimpinan UMNO Negeri Kelantan telah dimulakan.

Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Bachok, Othman Mahmood berkata, para kepimpinan dan jentera turut memberikan sambutan yang memberangsangkan bagi menghadapi pilihan raya tersebut.

“Saya tengok dari segi pergerakan, semua lapisan kepimpinan di Kelantan sangat hebat khususnya dalam menghadapi PRN. Gerak kerja telah mula dilakukan di segenap peringkat tanpa memerlukan arahan daripada mana-mana pihak.

“Dari segi sambutan, Pergerakan Pemuda di bahagian (Bachok) dan Kelantan juga dilihat amat memberangsangkan.

“Harapannya, kalau kita nak berjaya kita perlu berusaha. Kalau kita hanya bercakap tetapi tiada gerak kerja dilakukan, susahlah,” katanya kepada UMNO Online.

Dalam hal lain, beliau turut beranggapan bahawa agenda Malaysia Madani yang dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah mula diterima rakyat.

“Saya melihat Perdana Menteri membawa agenda Madani bukan dengan tujuan untuk memecahbelahkan orang Melayu. Rakyat pun sudah mula boleh menerima cara pemerintahan kerajaan sedia ada ini.

“Betul, mungkin rakyat tidak dapat melihat secara keseluruhannya apa yang telah diusahakan oleh kerajaan. Tetapi bibit penerimaan sudah ada.

“Segala usaha yang dilakukan sudah semestinya untuk perpaduan dan rakyat, bukan untuk kepentingan parti semata-mata,” katanya lagi.

Sebanyak enam buah negeri akan menghadapi PRN yang dijangka bakal berlangsung pada Julai nanti.

Negeri yang dimaksudkan ialah Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.