UMNO Luah Kesyukuran Komitmen Kerajaan Pertahan Isu Kalimah Allah

KUALA LUMPUR, 17 Mei – UMNO meluahkan kesyukuran dengan komitmen kerajaan berkenaan isu penggunaan kalimah Allah, kata Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya perkara itu dizahirkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu pertemuan yang diadakan bersama Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Pertemuan itu diadakan bagi berkongsi kerisauan akar umbi parti berkenaan isu ini.

“Pagi tadi, sebelum mesyuarat Kabinet bermula, saya bersama Dr Asyraf telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri bagi menzahirkan pandangan dan pendirian akar umbi UMNO terhadap isu kalimah Allah.

“Alhamdulillah, Perdana Menteri menyatakan komitmen untuk terus mempertahankan ketetapan dasar Kerajaan berkenaan isu penggunaan kalimah Allah sebagaimana yang telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan pada 2014,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri dalam pada itu turut memaklumkan bahawa kerajaan akan memperkemaskan isu-isu penguatkuasaan terhadap dasar penggunaan Kalimah Allah dan memutuskan untuk mempersembahkan cadangan-cadangan kepada Majlis Raja-Raja.

“Ini bagi memastikan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan sebagaimana peruntukan Perlembagaan akan terus terpelihara di samping mengekalkan perpaduan dan keharmonian di antara kaum dan agama di Malaysia,” katanya.

Untuk rekod, Jemaah Menteri selepas mesyuarat Kabinet memaklumkan telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mempersembahkan cadangan-cadangan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah ‘Allah’ kepada Majlis Raja-Raja.

Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini berkata ia turut melibatkan cadangan memperkukuh perpaduan dan keharmonian antara kaum dan agama di Malaysia.

Perkara itu antara yang dibincangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri hari ini berhubung keputusan Peguam Negara untuk menarik balik rayuan terhadap kes Jill Ireland Lawrence Bill berhubung bahan penerbitan yang mengandungi kalimah Allah. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.