Peguam Luar Negara Setuju Kes Sulu Penyalahgunaan Proses Arbitrasi – Azalina

KUALA LUMPUR, 17 Mei – Peguam-peguam luar bersetuju dengan pandangan kerajaan Malaysia bahawa tiada klausa timbang tara dalam Perjanjian 1878 dan kes Sulu adalah satu penyalahgunaan proses arbitrasi.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) merangkap Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, beliau kini berada di Paris bagi mengadakan beberapa perbincangan mengenai Kes Sulu.

 

“Saya kini berada di Paris mewakili Kerajaan Malaysia bersama dengan wakil Jabatan Peguam Negara, wakil Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) dan wakil Sekretariat Khas.

“Kami telah menghadiri beberapa perbincangan dengan peguam-peguam lantikan Kerajaan Malaysia dari Belanda, Perancis, Luxembourg dan Sepanyol berkenaan kes Sulu,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Menurut Azalina, tuntutan Sulu adalah satu percubaan mendapatkan wang melalui proses arbitrasi yang tidak sah.

“Saya ingin berkongsi berita baik bahawa peguam-peguam luar juga bersetuju dengan pandangan Kerajaan Malaysia bahawa tiada klausa timbang tara dalam Perjanjian 1878, dan kes Sulu adalah satu penyalahgunaan proses arbitrasi.

“Ini jelas menunjukkan tuntutan Sulu adalah satu percubaan mendapatkan wang daripada negara Malaysia melalui proses arbitrasi yang tidak sah.

“Kerajaan akan mengambil tindakan susulan pada minggu hadapan,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.