Isu Kalimah Allah: Tiada Kompromi Dengan Cubaan Mencemarkan Kemuliaan Islam – Noraini

KUALA LUMPUR, 17 Mei – Wanita UMNO Malaysia meluahkan ketegasan untuk tidak berkompromi berkenaan isu penggunaan kalimah Allah yang hangat dibangkitkan ketika ini.

Ketuanya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata ini adalah percubaan dalam mencemarkan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.

“Wanita UMNO Malaysia mendesak Kerajaan Perpaduan tegas dalam menangani isu-isu sebegini.

“Kami menegaskan juga bahawa tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan yang boleh mencemarkan kemuliaan Islam sebagai agama rasmi di negara ini,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Menurut beliau lagi, isu sebegini perlu dikendali secara bijaksana bagi menjaga keharmonian dalam kalangan rakyat di negara ini.

“Isu sensitif perlu diperhalusi dan ditangani secara berhemah dan kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan perlulah dibuat secara berhati-hati demi menjaga keharmonian masyarakat majmuk serta kemuliaan agama Islam,” ujar beliau.

Terdahulu, Pemuda UMNO Malaysia turut sama mendesak Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menjelaskan secara terperinci berkenaan keputusan kerajaan menarik balik rayuan di mahkamah berhubung penggunaan kalimah Allah.

Ketuanya, Dr Mohamad Akmal Saleh berkata mereka tidak teragak-agak untuk turun ke jalanan bagi menyuarakan bantahan berkenaan isu ini. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.