Iktibar Pilihan Raya Turkiye: Tiada Tuduhan Dan Dakwa Siapa Lebih Islamis, Fokus Ijtihadi Demi Kebajikan Rakyat

KUALA LUMPUR, 17 Mei – Setiausaha Eksekutif Majlis Ulama UMNO (MUU), Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berpandangan parti-parti politik negara perlu mengambil contoh dengan situasi politik di Turkiye.

Katanya ini kerana meskipun berbeza ideologi namun mereka sebagai Islamis tetap mendukung ijtihad dalam membawa kemakmuran dan pembangunan rakyat di negara itu.

“Politik kepartian adalah ijtihad termasuk di kalangan Islamis. Oleh kerana itu lahir pelbagai parti politik yang membawa agenda politik Islam di pelbagai negara umat Islam. Mereka bersepakat pada matlamat menegakkan Islam sebagai asas pemerintahan dan berbeza ijtihad dalam membentuk parti-parti yang menjadi platform mereka.

“Semua parti-parti ini mempunyai cita-cita politik Islam tetapi apabila mereka bersaing untuk mendapatkan kuasa, tiada yang menuduh dan mendakwa siapa lebih Islamis dan siapa yang tidak kerana semuanya ijtihadi,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Jelas beliau, meskipun ada parti yang mantafsir diri mereka sebagai Islamis namun tidak membawa agenda rakyat juga berpotensi untuk ditolak rakyat.

“Manakala rakyat kebanyakan memilih parti yang lebih mampu memberi kebajikan kepada rakyat.

“Malah sekiranya dilabelkan Islamis sekalipun namun gagal membawa keadilan dan kemakmuran sebagaimana tuntutan politik Islam ia mungkin juga ditolak oleh rakyat,” katanya lagi.

Mengulas lanjut mengenai pilihan raya Presiden Turkiye, beliau turut sama menyentuh berkenaan perkembangan parti-parti politik di negara itu yang juga berpecah.

Jelas Khairuddin, parti Saadat yang dilihat Islamis dan mewarisi Parti Refah pimpinan Prof Najmudin Erbakan yang diharamkan pada sekitar tahun 2000 telah membuat keputusan kerjasama politik dengan parti sekular yang diasaskan oleh Kamal Attartuk iaitu Parti Rakyat Republikan (CHP) bagi menentang Erdogan mewakili AK Party.

AK Party adalah pecahan daripada Parti Refah yang diharamkan kerana sifat Islamisnya sama seperti Parti Saadat yang lahir bagi menggantikan Parti Refah.

“Tindakan parti Saadat dilihat bercanggah dengan warisan pemikiran Erbakan menyebabkan anak kepada Erbakan iaitu Fateh Erbakan keluar daripada Saadat dan menubuhkan parti baru dinamakan Refah Baru dan memberikan sokongan kepada Erdogan dalam pilihan raya Presiden 2023.

“Ini bukan kali pertama Saadat bekerjasama dengan CHP. Pada pilihan raya 2018 juga mereka bekerjasama bagi menentang Erdogan menyebabkan berlaku pertembungan dalam Saadat.

“Ketua Majlis Syura Saadat mengkritik keras tindakan Presiden Saadat yang membuat keputusan berpakat dengan parti sekuler CHP bagi menjatuhkan Erdogan sedang Erdogan dilihat menjadi pelindung kepada gerakan Islam dan gerakan pembaharuan di Timur Tengah,” ujar beliau.

Menurut beliau, pimpinan Ekhwan Muslimin di Mesir yang lari akibat krisis politik pasca kejatuhan kerajaan Mursi diberikan perlindungan oleh Erdogan, gerakan-gerakan Islam banyak mengadakan mesyuarat peringkat internasional di Turkiye dengan pembiayaan dan naungan Erdogan sejak 2003.

“Malah di kalangan AK Party juga berlaku krisis kepimpinan pada tahun 2018 menyebabkan pimpinan utama keluar parti dan menubuhkan parti baru. Dawud Ughlu bekas Perdana Menteri Turkiye dan rakan rapat Erdogan keluar daripada AK Party kerana tidak bersetuju dengan tindakan Erdogan menukar sistem pemerintahan kepada sistem Presiden yang memusatkan kuasa kepada Presiden Turkiye. Beliau kemudian menubuhkan Parti Masadepan.

“Turut keluar parti rakan rapat Erdogan iaitu Abdullah Gul bekas Pesiden dan juga Perdana Menteri Turkiye ketika awal kemenangan AK Party tahun 2003. Walaupun beliau tidak menubuhkan parti tetapi menyokong usaha Dawud Ughlu. Seorang lagi pimpinan kanan AK Parti yang keluar iaitu Ali Babajan menubuhkan Parti Kemajuan Dan Demokrasi.

“Demikianlah ijtihad politik kepartian yang berlalu di kalangan Islamis. Ini belum lagi kita bicarakan apa yang berlaku di kalangan Islamis di Indonesia, di Algeria, Morocco dan Tunisia,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.